Peralihan operator lama Menara KL berlandaskan undang-undang - Fahmi

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Tindakan kerajaan mengusir operator lama Menara Kuala Lumpur (Menara KL) adalah berlandaskan undang-undang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Menara KL merupakan hak milik penuh kerajaan dan tindakan memasuki premis itu oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pada Rabu lalu, bukan bersifat penindasan.
“Sekarang ini dalam proses mahkamah, jadi saya tidak boleh mengulas lebih.
“Namun, saya nyatakan sebarang tindakan kerajaan adalah berlandaskan undang-undang,” katanya selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di Balai Raya Taman Desa Skudai, Taman Sri Skudai di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim.
Fahmi mengulas tindakan Kementerian Komunikasi yang mengarahkan penutupan sementara Menara KL bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung, susulan keengganan dua syarikat pengendali lama, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn Bhd mengosongkan premis itu selepas tamat tempoh konsesi pada 31 Mac lalu.
Pada Ahad, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan kerajaan menggunakan pasukan polis serta agensi penguat kuasa bagi mengusir operator lama pada 16 April lalu sebagai mengejutkan dan melampaui norma negara hukum.
“Insiden pengusiran paksa ini menggoncang asas Malaysia sebagai sebuah negara hukum. Tidak wajar kerajaan mengetepikan syarikat bumiputera yang telah mengurus Menara KL dengan rekod baik selama bertahun-tahun.
“Lebih mengejutkan, syarikat berkenaan juga terpaksa menanggung liabiliti melebihi RM300 juta,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menegaskan kerajaan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam isu ini, sebaliknya mengutamakan kedaulatan undang-undang.
Dalam perkembangan berkaitan, MKLSB dan Hydroshoppe telah membuat laporan polis berhubung kerosakan dan kemusnahan barangan milik syarikat mereka di Menara KL.
Menurut Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menentukan sama ada berlaku unsur khianat.
“Jika siasatan membuktikan wujud unsur khianat, tindakan susulan hendaklah diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

