Pencarian budak autisme hilang diteruskan di Sungai Tamparuli

TUARAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak autisme yang hilang pada Ahad, diteruskan dengan pembahagian dua sektor pencarian iaitu di kawasan darat dan Sungai Tamparuli di Kampung Bahagia II, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, SAR memasuki hari kedua turut melibatkan penggunaan bot untuk menyusuri sungai berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Pagi ini, ektor pencarian kita tidak dapat perluaskan kerana kawasan tersebut memang kecil dikelilingi hutan belukar dan kebun-kebun.
"Namun tengah hari nanti jika belum ada petanda, mungkin kita perluaskan juga kawasan pencarian. Tetapi hari ini kami juga turunkan bot untuk menyusuri sepanjang sungai berkenaan bagi mencari kanak-kanak tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum itu, kanak-kanak dikenali sebagai Muhd Aniq berusia lima tahun menghidap autisme disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tidak ditemui di dalam rumah.
Pencarian di sekeliling rumah hanya menemui anak patungnya yang berada di luar dan usaha mencari diteruskan dengan melaporkan kepada pasukan keselamatan.
Pencarian tersebut turut dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) namun tidak berhasil sebelum SAR ditangguhkan dan disambung pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
