Dr Afif serah kepada pimpinan PKR tentukan kedudukan

Dr Afif ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jersi Baharu pasukan Bola Sepak Pulau Pinang oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow malam ini. - Foto Bernama
Dr Afif ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jersi Baharu pasukan Bola Sepak Pulau Pinang oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin menyerahkan kepada pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menentukan kedudukannya.

Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh itu berkata, beliau telah berjumpa dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerangkan kedudukan dan pendiriannya dalam mesyuarat, Ahad lepas.

"Bulan lepas saya terima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin dan saya telah menjawab surat itu pada Rabu lepas. Kedudukan saya dalam parti masih belum disahkan apa-apa kerana saya masih lagi dirujuk kepada jawatankuasa disiplin... yang pasti saya serah kepada kepimpinan parti untuk menentukan kedudukan saya.

"Saya ingat perjumpaan saya dengan presiden Ahad lepas cukup untuk beliau maklum tentang pendirian dan kedudukan saya pada hari ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan Peringkat Pulau Pinang di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR terima penjelasan ahli sokong pemimpin khianat parti

Pada 21 Februari lepas, Dr Afif menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR yang mendakwa beliau melakukan aktiviti sabotaj dengan mencetus dan/atau bersekutu untuk menimbulkan rusuhan serta pergolakan pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh Melaka pada 6 Disember tahun lepas, dengan tujuan untuk membatalkan kongres tersebut.

Sementara itu, Dr Afif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri berkata, buat masa ini beliau akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya dan Exco kerajaan negeri.

"Saya tahu tanggungjawab dan jawatan yang saya ada hari ini bukan hak saya, bukan keistimewaan tetapi satu amanah yang diberikan untuk saya... yang pasti saya akan teruskan amanah diberikan ini, selagi mana saya diperlukan.- Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan ke atas Afif berat sebelah

Semak semula tindakan terhadap Dr Afif