PKR terima penjelasan ahli sokong pemimpin khianat parti

Anwar bersalaman dengan ahli PKR selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama ahli Parlimen dan ADUN PKR di Tropicana sebentar tadi.
Anwar bersalaman dengan ahli PKR selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama ahli Parlimen dan ADUN PKR di Tropicana sebentar tadi.
A
A
A

PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima baik penjelasan daripada beberapa pemimpin dan ahli parti yang sebelum ini menyokong tokoh yang mengkhianati serta meninggalkan parti.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin terbabit menjelaskan bahawa mereka berasa tertipu dengan permainan beberapa pemimpin parti politik.

“Apabila mereka datang balik dan jelaskan mengenai perkara ini, maka saya harus terima baik pandangan mereka kerana mereka ini masih taat kepada parti.

“Jadi dalam mesyuarat tadi, mereka kata mereka sokong tetapi kami tak pernah dengar pakatan mereka dengan UMNO atau Pas untuk rebut jawatan atau khianat kepada parti.

“Mereka tidak tahu, jadi kita tak boleh salahkan mereka, jadi saya perlu redakan keadaan ini dan kuatkan parti,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri PKR di ibu pejabat PKR di Tropicana di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Naib Presiden, Tian Chua; Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Wanita, Daroyah Alwi dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Ketika ditanya adakah mereka ini akan dipecat daripada parti, Anwar berkata, mereka tidak dikenakan tindakan itu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, PKR masih tetap dengan pendirian untuk meneruskan perjuangan parti dengan mengutamakan agenda rakyat, mempertahankan keadilan dan tidak mengizinkan rompakan harta rakyat secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, mesyuarat itu turut dicemari dengan kekecohan apabila segelintir ahli parti itu melaungkan 'pengkhianat' terhadap beberapa ahli pimpinan PKR yang didakwa mengkhianati parti.

Antara mereka yang dikecam teruk termasuklah Afif yang juga bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan dan Tian Chua.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesyuarat MPP PKR kecoh