PRN: ADUN Sungai Kandis serah kepada pucuk pimpinan

Mohd Zawawi dan Gunaraj
Mohd Zawawi dan Gunaraj
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni enggan memberi respon lanjut berhubung spekulasi mengatakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan bertanding di kerusi tersebut.

Mohd Zawawi berkata, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

"Saya serah kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan yang terbaik.

"Tunggu keputusan rasmi daripada parti," katanya ringkas menerusi mesej di aplikasi WhatsApp.

Sebelum ini, timbul spekulasi Tengku Zafrul akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor selepas beliau menyertai UMNO Kota Raja Disember lalu.

Parlimen Kota Raja terdiri daripada tiga DUN iaitu Sungai Kandis yang kini disandang Mohd Zawawi (PH-PKR); Kota Kemuning, V Ganabatirau (PH-DAP) dan Sentosa, G Gunaraj (PH-PKR).

Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dikatakan akan bertanding di salah satu kerusi tersebut.

PRN Selangor dijangka diadakan dalam masa terdekat dan buat pertama kali menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama selari dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

Proses agihan kerusi antara gabungan tersebut sedang berjalan dan belum dimuktamadkan setakat ini.

Sementara itu, Gunaraj berkata, beliau difahamkan DUN Sentosa tidak terlibat dengan perebutan kerusi antara BN- PH.

Jelasnya, pimpinan negeri setakat ini menetapkan kriteria agihan diberikan kepada parti yang telah menang kerusi DUN terbabit pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Apa yang saya faham, BN mahukan kerusi yang lebih dan itulah permintaan mereka.

"Setakat ini, belum ada keputusan namun PH mahu pertahan kerusi yang dimenangi," katanya.

Katanya, PH perlu bertegas isu agihan kerusi tersebut dengan mempertahan kerusi yang telah dimenangi pada PRU lalu.

Bagaimanapun tambah beliau, isu tersebut perlu diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.