Pemandu lori bunuh bapa dihukum penjara tiga tahun

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang pemandu lori yang menyebabkan kematian bapanya dua tahun lalu.
Hakim, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu terhadap K Niruben, 28, yang membuat pengakuan bersalah di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian memaklumkan representasi tertuduh yang dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara telah diterima dan pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibenarkan di bawah pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 5 Ogos 2023 antara jam 12.20 malam hingga 1.10 pagi bertempat di Taman D' Ambang, Kota Lukut, Port Dickson, telah menyebabkan kematian bapanya, K Paramasivan.
Jika sakit kesalahan tertuduh boleh dihukum dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara itu, peguam, S Paul Krishnaraja memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara yang rendah iaitu dua tahun setengah disebabkan pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah.
Selain itu katanya, tempoh reman dijalani tertuduh sejak tarikh ditangkap 5 Ogos 2023 telah menjadi pengajaran kepadanya untuk insaf serta kesal dengan apa yang berlaku.
Menurutnya, kejadian itu juga berpunca daripada bapa tertuduh yang memulakan pergaduhan termasuk menggunakan kayu serta barangan lain hingga menyebabkan tertuduh mengalami kecederaan di kepala.
"Berdasarkan pertuduhan mangsa yang juga ayah tertuduh berada dalam keadaan mabuk dan bergaduh dengan ibu yang kejadian sama ini sering berlaku.
"Mangsa juga mengeluarkan kata-kata kesat menyebabkan tertuduh cuba menghentikan perlakuan itu sebelum terjadinya kejadian tersebut," katanya.
Rohani pada penghakimannya menasihati tertuduh agar bersabar dan tidak mengambil tindakan melulu pada masa hadapan.
"Kamu bernasib baik sebab tidak diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, itu boleh kena gantung sampai mati.
"Jadi kamu perlu bersabar dan jangan buat tindakan melulu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

