MyIPO permudah proses daftar hak cipta

Kamal ketika ditemui Sinar Harian di Menara MyIPO, di sini baru-baru ini. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Kamal ketika ditemui Sinar Harian di Menara MyIPO, di sini baru-baru ini. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PETALING JAYA – Perlindungan terhadap hak cipta karya muzik di Malaysia masih berada pada tahap sederhana apabila jumlah pendaftaran secara rasmi masih rendah berbanding jenis karya lain seperti sastera dan filem.

Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kamal Kormin berkata, situasi itu sekali gus boleh membuka ruang kepada isu pelanggaran hak cipta tanpa disedari atas kurangnya pendidikan tentang perlindungan terhadap hak cipta.

Menurutnya, hanya 786 karya muzik telah didaftarkan di bawah sistem Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta (CVN) sejak ia diperkenalkan pada tahun 2012 sehingga Februari 2025.

“Sebagai perbandingan, pada tahun 2024 sahaja, MyIPO menerima 7,382 permohonan bagi karya sastera, berbanding hanya 95 permohonan untuk karya muzik dalam tempoh sama.

“Ini menunjukkan penggiat seni muzik masih belum memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendaftarkan karya mereka secara sah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Menara MyIPO, di sini baru-baru ini.

Aktiviti yang akan dijalankan sempena Hari Harta Intelek Negara 2025, dari 21 hingga 25 April ini di Menara MyIPO, PJ Sentral.
Aktiviti yang akan dijalankan sempena Hari Harta Intelek Negara 2025, dari 21 hingga 25 April ini di Menara MyIPO, PJ Sentral.

Disebabkan itu katanya, sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) 2025 mengangkat tema ‘Muzik Kita, Milik Kita’ dengan objektif memperkukuh kesedaran awam mengenai peranan hak cipta dalam melindungi karya muzik tempatan, selain mengiktiraf sumbangan besar pencipta, penyanyi dan pemuzik dalam industri kreatif.

Ia juga selaras dengan tema sambutan World IP Day 2025 di peringkat global, iaitu IP & Music: Feel the Beat of IP, yang menekankan muzik sebagai ekspresi budaya yang bernilai dan wajar dipelihara daripada pelanggaran hak cipta.

Artikel Berkaitan:

Tambah Kamal, dalam usaha mempercepat dan memudahkan proses pendaftaran hak cipta, MyIPO telah melancarkan inisiatif baharu dinamakan CR2U (Copyright To You) pada tahun 2023, yang membolehkan pemohon memperoleh notis dan sijil pemberitahuan hak cipta dalam tempoh sekitar 30 minit sahaja.

Jelasnya, sebelum ini, proses Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta (CVN) mengambil masa antara tiga hingga enam bulan namun dengan CR2U, pemohon hanya perlu hadir ke pejabat MyIPO dan menyediakan maklumat asas seperti nama pencipta dan pemilik, tajuk karya salinan karya yang ingin dilindungi serta dokumen sokongan.

“Ini memberikan satu kelebihan dalam bentuk perekodan yang sah di sisi undang-undang, yang boleh digunakan sebagai instrumen pembuktian prima facie sekiranya berlaku pelanggaran hak cipta,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa sejak pelaksanaan CR2U, jumlah permohonan CVN telah meningkat secara mendadak.

Pada tahun 2024, sebanyak 9,363 permohonan diterima berbanding 6,807 pada tahun sebelumnya yang mana inisiatif CR2U antara faktor penyumbang kepada peningkatan permohonan, membuktikan bahawa apabila proses dipermudahkan, kesedaran untuk melindungi karya turut meningkat.

Royalti melalui pelesenan sah

Menjelaskan isu pelanggaran hak cipta muzik terutama dalam penggunaan karya di platform digital seperti TikTok, Instagram dan YouTube, Kamal berkata, penggunaan lagu secara sah tertakluk kepada perjanjian pelesenan antara platform digital dengan organisasi pengurusan kolektif (CMO) yang mewakili pemilik hak cipta muzik.

“Jika platform tersebut mempunyai lesen sah, royalti akan diagihkan kepada penggiat muzik yang merupakan ahli kepada CMO. Namun, cabaran utama datang daripada pengguna yang telah biasa dengan norma memuat naik kandungan muzik tanpa kebenaran pemilik hak cipta, walaupun tanpa tujuan komersial.

“Ini tetap dianggap salah satu pelanggaran hak cipta dan perlu ditangani dengan penguatkuasaan serta kesedaran advocasy secara meluas,” jelas beliau.

Kamal memberitahu bahawa kes pelanggaran hak cipta bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia.

Mengulas persoalan sama ada karya muzik yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) layak mendapat perlindungan hak cipta, Kamal menjelaskan bahawa Malaysia masih mengekalkan dasar semasa iaitu hanya karya ciptaan manusia sahaja yang layak mendapat perlindungan di bawah Akta Hak Cipta 1987.

“Jika karya dihasilkan sepenuhnya oleh AI tanpa sebarang ekspresi kreatif manusia, maka ia tidak layak untuk dilindungi. Ini juga menjadi pendirian kebanyakan negara lain termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Bagaimanapun, jika AI digunakan sebagai alat dan terdapat penglibatan manusia dalam proses penciptaan, contohnya dalam penulisan lirik, penyusunan nota lagu atau melodi dalam sumbangan berbentuk minima, maka karya tersebut berkemungkinan boleh dipertimbangkan untuk perlindungan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan melalui MyIPO sedang mengikuti rapat perkembangan antarabangsa dan perbincangan di peringkat World Intellectual Property Organization (WIPO) untuk merangka garis panduan lebih komprehensif pada masa hadapan.

David Teo pemilik hak cipta terbanyak

Berdasarkan data MyIPO, antara penggiat seni tempatan yang aktif mendaftarkan karya mereka sebagai hak cipta ialah Datuk David Teo dari MIG Pictures Sdn Bhd dan MIG Production Sdn Bhd dengan 160 permohonan.

Ia diikuti Les’ Copaque Production Sdn Bhd (17 permohonan), Datuk Afdlin Shauki Aksan (12 permohonan), Datuk Norman Abdul Halim dari KRU International (lapan permohonan), Datuk Yusof Haslam dari Skop Production (empat permohonan) dan Datin Paduka Shuhaimi Baba serta Rabbani Productions (M) Sdn Bhd, masing-masing tiga permohonan.

Sehubungan itu, Kamal menyeru semua penggiat seni merangkumi pencipta lagu, penyanyi dan pemuzik untuk mengambil bahagian dalam sambutan Hari Harta Intelek Negara 2025, yang akan berlangsung dari 21 hingga 25 April ini bertempat di Menara MyIPO, PJ Sentral.

“Ini bukan sahaja peluang untuk menimba ilmu tentang aspek perundangan dan pengurusan harta intelek, tetapi juga ruang untuk membina jaringan, memahami teknologi baharu seperti AI dan menyedari potensi besar karya muzik jika dilindungi dengan betul.

“MyIPO turut mengalu-alukan orang ramai untuk hadir dan menyertai sesi pendaftaran hak cipta secara langsung, forum interaktif bersama pakar dan penggiat industri, serta pelbagai aktiviti menarik sepanjang sambutan tersebut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!