Gaya hidup ‘lebih penting’ daripada melabur emas

TREND harga emas dilihat menggila tahun ini dan penganalisis jangka akan naik sehingga RM700 hujung 2026. Bagi yang sudah ikuti perkembangan dan memiliki emas pastilah merasai kenaikannya yang berganda-ganda sejak akhir ini.
Pada penghujung Disember 2020, harga emas lingkungan RM270 bagi 1 gram, manakala harga semalam ialah RM511 bagi berat yang sama.
Untuk tempoh lima tahun ini, mengikut kiraan Merak Jalanan kenaikan mencecah sekali ganda atau hampir 100 peratus berbanding harga belian pada 2020.
Belum ada pelaburan yang rendah risiko sebegini boleh mendapat kenaikan peratusan keuntungan setinggi itu. Ada yang tepuk dahi, tidak beli dari dulu lagi, alasannya tidak berkemampuan tetapi ada yang lebih selesa memilih berbelanja untuk tujuan gaya hidup yang berlebih-lebihan daripada melabur emas.
Mengambil contoh, ada yang lebih selesa menghabiskan sepetang RM200 untuk menikmati dua cawan kopi dan sajian lain di mana-mana ‘rumah kopi’.
Hari ini harga emas semakin 'mendonia', jadi ramai makin melatah untuk menjadi pengumpul emas dan mungkin masih belum terlambat untuk cuba membuat pelaburan baharu.
Cuma pelaburan emas ini mengambil masa panjang, bukannya seperti pasaran saham. Beli hari ini, esok sudah dapat hasilnya. Ada rezeki cepat, kadang-kala makan bulan atau tahun dan apa yang pastinya belum ada yang rugi jika melabur emas.
Merak Jalanan ada berjumpa beberapa pemain industri emas, mereka memberitahu adalah lebih baik bermula sekarang, sebab harga emas agak susah untuk menurun.
Mungkin akan turun sedikit, tetapi secara kasarnya harganya akan kekal tinggi. Oleh itu, rancang kembali perbelanjaan dan mulalah melabur kerana emas tidak pernah rugi untuk jangka masa panjang.
Cuma satu Merak Jalanan nak pesan, beli emas sebaik-baiknya emas fizikal atau dari institusi sah. Kalau emas itu hanya atas talian, tidak mustahil anda akan jadi mangsa scam seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
