Penunggang motosikal patah tulang rusuk, ditendang kerana potong laluan

Tangkap layar video kamera papan pemuka yang tular mengenai kejadian itu. Foto sumber Thairath
Tangkap layar video kamera papan pemuka yang tular mengenai kejadian itu. Foto sumber Thairath
A
A
A

THAILAND - Seorang pekerja penunggang motosikal parah selepas ditendang penunggang motosikal lain dalam kejadian amukan jalan raya di Thailand pada Khamis lalu.

Mangsa yang berusia 48 tahun dan bekerja di Zoo Chiang Mai itu mengalami patah tiga tulang rusuk selepas terjatuh dan tergolek merentasi beberapa lorong jalan raya.

Menurut media Thairath, kejadian berkenaan dirakam menerusi tangkap layar video kamera papan pemuka (dashcam) dan tular di media sosial, sekali gus mendorong pihak polis memulakan siasatan mencari pelakunya.

Rakaman menunjukkan suspek yang menunggang di lorong paling kanan mempercepatkan motosikalnya untuk menghampiri mangsa sebelum menendangnya.

Mangsa kemudian dilihat hilang kawalan, terjatuh di atas jalan dan tergelincir ke dua lorong bersebelahan.

Nasib menyebelahi mangsa apabila pemandu kenderaan yang merakam kejadian sempat memperlahankan kenderaannya dan mengelakkan mangsa daripada dilanggar.

Mangsa tergolek beberapa kali dan terhenti di tepi jalan dengan topi keledar tercabut disebabkan hentakan yang kuat.

Bagaimanapun, suspek pula terus melarikan diri sejurus insiden berlaku.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mangsa memaklumkan kepada polis bahawa suspek pada awalnya mengejarnya dan menjerit kerana mendakwa dia telah memotong laluan.

Walaupun tidak pasti bila ia berlaku, mangsa tetap meminta maaf namun suspek terus memarahinya.

Mangsa cuba beredar namun terus diekori sebelum ditendang sehingga terjatuh.

Susulan itu, mangsa segera mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis di balai berhampiran.

Pihak polis pula telah mengenal pasti suspek sebagai seorang lelaki berusia 26 tahun yang bekerja di syarikat kurier.

“Suspek telah menyerah diri dan mengaku sebagai individu dalam rakaman tular itu.

“Dia turut memberitahu polis bahawa tindakannya dipengaruhi oleh emosi selepas bertengkar dengan isterinya,” kata pihak polis.

Pihak polis kini sedang mengambil tindakan lanjut termasuk pertuduhan memandu secara cuai, menyebabkan kecederaan parah dan memandu tanpa lesen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!