Tumbuk pemandu wanita: 'Tulang rusuk kakak patah, kami tidak akan tarik kes'

SHAH ALAM - Keluarga pemandu wanita Perodua Axia yang ditumbuk seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Persiaran Senawang, Seremban, pada 29 Mac lalu mendakwa mangsa mengalami patah rusuk akibat insiden tersebut.
Perkara itu dikongsikan oleh pengguna TikTok, Syfhusnaaa, yang meluahkan rasa kecewa terhadap perbuatan lelaki berkenaan, yang dikatakan merupakan anggota tentera.
Malah, Syfhusnaaa turut mempersoalkan tindakan lelaki terbabit yang tidak berfikir panjang sebelum bertindak sedemikian sehingga menyebabkan tulang rusuk kakaknya patah.
"Bila akak aku berkeras, barulah si isteri datang memujuk supaya tarik kes, konon kena kesian dengan anak-anak kau sebab kau tak kerja nanti tak ada siapa nak tanggung kau dengan anak-anak?
"Cuba bayangkan kau terajang rusuk akak aku sampai patah? Dia pun ada dua orang anak, seorang di tadika dan seorang di sekolah rendah. Dia ibu tunggal, tiada suami. Siapa nak tanggung anak-anak dia?" tulisnya.
Dia juga mempersoalkan keluarga lelaki berkenaan yang tidak memohon maaf sebaik kakaknya selesai mendapatkan rawatan di hospital.
"Bila tangan dah kena gari, baru nak melutut minta maaf merayu-rayu sampai sanggup sujud nak cium kaki akak aku? Kenapa selepas selesai rawatan kau tak minta maaf sikit pun?
"Bagi alasan sebab orang dah ramai, kau tak boleh nak pergi dekat akak aku nak minta maaf? Atau sebenarnya kalau orang awam tak tahan kau, kau masih nak lanyak akak aku?
"Nak cakap lebih-lebih dah tak kuasa, tapi kau sebagai badan beruniform kena bela masyarakat, bukan buat rakyat macam musuh kau. Akhir kata, kau merayulah macam mana pun, akak aku akan tetap teruskan kes dan tidak akan tarik semula kes," katanya.
Menurutnya, kakaknya telah dimalukan di hadapan orang ramai, selain mengalami bengkak di bahagian perut dan kepala serta mengalami kerosakan pada pintu keretanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!