Lambakan kereta usang sakitkan mata

SHAH ALAM - Lambakan kenderaan usang di tepi jalan atau kawasan perumahan sememangnya menimbulkan rasa kurang senang orang ramai yang ‘terseksa’ melihat pemandangan tersebut.
Tinjauan Sinar Ahad di beberapa kawasan perumahan dan pangsapuri sekitar Shah Alam serta Klang mendapati, sekurang-kurangnya terdapat 10 kereta usang yang enjinnya tidak boleh dihidupkan lagi, dibiarkan begitu sahaja sehingga berkarat.
Keadaan itu bukan sahaja menyebabkan ruangan parkir menjadi terhad, malah mencacatkan pemandangan berikutan kenderaan yang sudah menjadi besi buruk itu dipenuhi dengan rumput serta daun kering.
Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kenderaan seperti ini dicari pembeli kenderaan usang untuk dibaiki dan dijual semula, atau untuk kegunaan alat ganti.
Pembeli kenderaan usang, Mohd Haziq Farhan Jefrizai, 30, berkata, kebanyakan kereta tersadai menjadi pilihannya ialah model lama seperti Proton Iswara, Wira, Satria dan Perodua Kancil yang mempunyai nilai pasaran di bawah RM10,000.

“Selalu saya akan mencari kereta lama tersadai, tayar sudah pancit atau penuh dengan rumput di sekitar Shah Alam dan Klang. Kemudian letakkan kad untuk mereka hubungi saya.
“Dari situ mereka hubungi saya dan mula tawar-menawar harga,” katanya.
Menurutnya, harga yang ditawarkan kepada pemilik bergantung kepada keadaan kereta.
“Biasanya kita memang beli semula dengan harga paling murah. Daripada mereka simpan di rumah atau terbiar di kawasan parkir, lebih baik jual.
“Harga kami yang akan tentukan. Contohnya kalau kereta tersebut di pasaran di bawah RM10,000, kita akan beli dengan harga RM800 hingga RM1,500. Misalnya tahun lepas saya membeli dua kereta Proton Waja yang rosak akibat banjir di Taman Sri Muda dengan harga RM800 termasuk kos trak tunda,” katanya.
Mohd Haziq Farhan bagaimanapun berkata, dia hanya mengambil kenderaan lama yang mempunyai geran bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa depan.
“Kita tengok pada keadaan juga sebelum beli. Contohnya kalau kereta tenggelam banjir tetapi bahagian dalam masih cantik, tiada pecah atau cacat, pemilik boleh dapat harga tinggi asalkan ada geran.
“Biasa kereta banjir ini enjin tidak boleh pakai tetapi bahagian badan kereta seperti bonet, pintu dan bampar kita bersihkan dan jual semula,” katanya.
Mohd Haziq Farhan berkata, dalam setahun, lebih kurang 30 hingga 50 kereta terbiar dibelinya.
Dia memperoleh keuntungan sehingga RM2,000 hasil daripada jualan semula bahagian kenderaan usang tersebut.
Mohd Haziq Farhan bagaimanapun mengakui sering berdepan cabaran untuk berunding dengan pemilik kereta apabila tidak puas hati dengan harga ditawarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!