Purata 70 hingga 100 kereta usang dilupus setiap bulan

JOHOR BAHRU – Sekitar 70 hingga 100 kenderaan dilupuskan setiap bulan di kawasan Johor Bahru membabitkan kebanyakan model lama seperti Proton Iswara, Saga dan Wira.
Menurut seorang pekerja di pusat pelupusan kenderaan yang hanya mahu dikenali sebagai Moon, 31, kebanyakan kereta yang dilupuskan berusia 20 hingga 30 tahun.
“Ada juga kenderaan baharu yang dilupuskan, tetapi bilangannya tidak banyak dan harga pula pelupusan bergantung kepada jenis kenderaan, bukan keadaan fizikalnya.
“Kami tidak melihat kepada keadaan kereta kerana ini adalah proses pelupusan, bukan jual semula. Sebagai contoh, harga bagi Proton Saga tidak sama dengan Proton Wira.
“Jika terdapat komponen yang hilang atau tidak lengkap, harga akan dikurangkan mungkin sekitar RM50,” katanya kepada Sinar Ahad.

Mengulas lanjut, Moon memaklumkan, rundingan harga antara cabaran utama dalam kerja pelupusan kenderaan ini.
Jelasnya, setiap kenderaan yang diambil perlu dinilai terlebih dahulu bagi menentukan kaedah terbaik untuk menunda dan melupuskannya.
Ujarnya, harga minimum bagi pelupusan kenderaan ialah RM500 dan boleh mencecah RM1,000 bergantung kepada jenis kenderaan.
“Harga akan ditetapkan lebih awal dan jika pemilik bersetuju, barulah kami datang untuk mengambil kenderaan tersebut. Jika mereka tidak setuju, kami tidak akan memaksa.
“Selain itu, faktor cuaca, lokasi kenderaan serta pemilihan jenis towing yang sesuai juga menjadi cabaran,” ujarnya.
Tambah Moon, kebanyakan kenderaan yang dilupuskan adalah milik pemilik asal atau waris mereka.
Bagaimanapun, katanya, proses jual beli kenderaan buruk itu perlu mengikut prosedur ditetapkan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
“Biasanya kes ini melibatkan waris yang ingin melupuskan kenderaan selepas pemilik asal meninggal dunia, perceraian atau kerana terlalu banyak kenderaan dalam satu rumah.
“Contohnya, rumah di taman perumahan biasanya hanya boleh memuatkan dua kereta, tetapi ada pemilik yang mempunyai empat hingga lima kenderaan,” katanya.
Ditanya mengenai proses pelupusan, Moon berkata, ia melibatkan pengasingan komponen seperti enjin, badan kenderaan, besi dan aluminium sebelum dihantar ke kilang peleburan.
Ujarnya, setiap bahagian diasingkan dan dihantar ke pusat pelupusan berdaftar dan sampah juga dikendalikan dengan betul serta tidak dibakar atau ditanam sesuka hati.
“Kos pembuangan sampah bagi proses ini dianggarkan sekitar RM800 bagi sewaan satu tong sampah besar roll on roll off (RORO),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!