Rezeki berganda penjual itik salai

Mohamad Saiful menunjukkan itik salai yang siap sedia dijual kepada pelanggan.
Mohamad Saiful menunjukkan itik salai yang siap sedia dijual kepada pelanggan.
A
A
A

KUALA PILAH - Musim perayaan Aidilfitri memberi limpahan rezeki kepada peniaga itik salai di sekitar daerah ini apabila permintaan meningkat mendadak, khususnya untuk penyediaan rendang yang menjadi juadah tradisi masyarakat Negeri Sembilan.

Peniaga, Mohamad Saiful Nizam Jahaluddin berkata, beliau mampu menjual sehingga 10 ekor itik salai sehari pada musim perayaan berbanding hanya dua hingga tiga ekor pada hari biasa.

Menurutnya, menjadi kebiasaan buatnya pada musim perayaan untuk menyediakan stok tambahan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang datang terus ke kedai.

Hujung minggu merupakan hari sibuk buat peniaga itik salai di Jalan Kuala Pilah-Seremban.
Hujung minggu merupakan hari sibuk buat peniaga itik salai di Jalan Kuala Pilah-Seremban.

"Hidangan rendang itik antara menu popular orang Negeri Sembilan, disebabkan itu permintaan itik salai akan meningkat pada musim perayaan seperti sekarang.

"Saya mendapatkan bekalan daripada Kajang, Selangor bagi memenuhi permintaan pelanggan terutama dalam kalangan pelanggan tetap," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, walaupun perniagaan agak rancak ketika musim perayaan, waktu operasi pernigaann masih dikekalkan seperti biasa antara jam 8.30 pagi hingga 6 petang.

Mastura menunjukkan harga jualan salai di kedainya di zon asap Kuala Pilah.
Mastura menunjukkan harga jualan salai di kedainya di zon asap Kuala Pilah.

Seorang lagi peniaga, Mastura Mohamad, 34, meluahkan rasa syukur apabila dapat menjual sehingga 10 ekor itik salai sehari pada musim perayaan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, suaminya sebelum ini membantu bapa saudara berniaga itik salai dan mereka mula menjalankan perniagaan sendiri kira-kira enam bulan lalu.

"Alhamdulillah kami anggap ini rezeki musim perayaan, pada kami yang baru mula berniaga jumlah itu sudah dianggap banyak.

"Ada masa terlalu sibuk sampai tak menang tangan, hingga terpaksa dapatkan bekalan tambahan daripada peniaga berdekatan kerana kehabisan stok," katanya.

Bagaimanapun katanya, bagi meneruskan kelangsungan perniagaan, dia turut mempelbagaikan jualan dan tidak bergantung kepada produk itik salai semata-mata.

"Jualan tidak menentu biasanya jualan agak tinggi pada hujung minggu, bukan setiap hari orang makan itik salai.

"Disebabkan itu, saya pelbagaikan jualan lain seperti barangan runcit telur masin, dodol, jeruk maman selain ayam, ikan serta daging salai," katanya.

Mohamad Shafie menyalai itik lebih daripada jumlah biasa pada waktu hujung minggu yang kebiasaan akan menerima tambahan permintaan.
Mohamad Shafie menyalai itik lebih daripada jumlah biasa pada waktu hujung minggu yang kebiasaan akan menerima tambahan permintaan.

Seorang lagi peniaga, Mohamad Shafie Jahaluddin, 45, berkata, dia berjaya menjual sehingga 30 itik salai sehari selain turut menerima tempahan pukal daripada pembeli perseorangan.

"Ketika masih dalam musim perayaan seperti sekarang ada yang beli untuk rumah terbuka dan menjamu saudara mara, jadi boleh dikatakan jualan masih memberangsangkan.

"Cuma jika dilihat situasi berbanding tahun-tahun sebelumnya, jualan tahun ini agak berkurangan mungkin disebabkan persaingan harga selain bergantung kepada citarasa pelanggan itu sendiri.

"Setiap peniaga ada cara penyediaan tersendiri, saya yang telah 20 tahun berniaga masih menggunakan cara lama untuk penyediaan itik salai, ia mungkin salah satu kelebihan untuk pelanggan kekal masih membeli di kedai saya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!