MARDI nafi terlibat promosi produk tular, logo dan nama disalah guna

Azman
Azman
A
A
A

ALOR SETAR - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menafikan sebarang pembabitan dalam mempromosikan produk yang tular di media sosial, selain menegaskan nama dan logo rasmi agensi itu telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengerusi MARDI, Dr Azman Ismail berkata, agensi itu tidak pernah mempromosikan sebarang produk, malah tidak memiliki Pusat Pembangunan Tanaman seperti didakwa dalam laman Facebook berkenaan.

Menurutnya, pihaknya telah mengambil tindakan dengan melaporkan perkara itu kepada Facebook dan menyeru orang ramai agar turut membuat laporan terhadap laman berkenaan bagi mengelakkan penyalahgunaan itu terus berleluasa.

"Nama dan logo MARDI telah disalahgunakan tanpa kebenaran. Malah gambar Ketua Pengarah MARDI turut digunakan secara tidak sah bagi mengelirukan orang ramai," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Azman turut menegaskan MARDI tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau masalah yang timbul akibat berurusan dengan pihak yang menyamar menggunakan identiti agensi tersebut.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang transaksi melalui halaman mencurigakan. Untuk dapatkan maklumat sah dan terkini mengenai teknologi serta perkhidmatan kami, layari laman web rasmi di www.mardi.gov.my atau media sosial rasmi MARDI," tambah beliau.

Menurutnya, orang ramai boleh merujuk kepada 35 stesen MARDI di seluruh negeri sekiranya mempunyai pertikaian berkaitan pembangunan pertanian dan tanaman mahupun pemprosesan makanan.

Dalam pada itu, Azman memaklumkan, MARDI bukan sahaja merupakan pusat penyelidikan pertanian negara, malah turut berperanan membimbing pembangunan usahawan makanan dan pertanian.

“Melalui Unit Pembangunan Usahawan, MARDI menawarkan pelbagai bentuk bimbingan teknikal, latihan serta sokongan promosi kepada usahawan tani, dari peringkat awal hingga komersial.

Artikel Berkaitan:

“Ramai usahawan makanan yang sudah berjaya bermula dengan MARDI, antara nama besar termasuk Adabi Food, Jeruk Pak Ali dan Ramly Burger, semuanya pernah menerima bimbingan awal daripada kami,” katanya lagi.

Menurutnya, usahawan tani yang ingin mempromosikan produk mereka juga boleh mendapatkan bimbingan menerusi jaringan kerjasama dengan agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“MARDI juga menggalakkan penggunaan media sosial dalam strategi promosi produk, selari dengan trend pemasaran digital masa kini. Selain bimbingan teknikal, usahawan muda juga boleh mohon bantuan kewangan antaranya Geran Agropreneur Muda.

“Ramai juga mengikuti kursus di MARDI, dan daripada situ kami terus bantu mereka menjadi usahawan berjaya,” tambahnya.

Azman turut memaklumkan, Pameran Teknologi dan Inovasi Pertanian (Showtech MARDI 2025) akan diadakan pada Mei depan di ibu pejabat MARDI, Serdang bagi mengetengahkan teknologi dan inovasi terkini hasil penyelidikan MARDI.

“Sebagai institusi penyelidikan pertanian tertua negara ditubuhkan pada 1999, MARDI komited menjalankan pelbagai kajian dan inovasi dalam bidang pertanian dan makanan.

“Hasil-hasil penyelidikan ini bukan sahaja memajukan sektor pertanian negara, malah memberi impak langsung kepada petani, usahawan tani serta pengguna.

“Pameran itu dijangka menghimpunkan pelbagai teknologi dalam bidang pertanian moden, pemprosesan makanan, penggunaan teknologi hijau serta sistem pertanian pintar yang kini semakin mendapat perhatian dalam mendepani cabaran keselamatan makanan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Showtech MARDI bukan sahaja mempamerkan hasil penyelidikan, tetapi menjadi medium perkongsian ilmu, peluang kerjasama dan pembangunan industri agro makanan negara.

“Orang ramai dijemput hadir menyaksikan sendiri demonstrasi teknologi, menyertai sesi taklimat serta mendapatkan maklumat secara terus daripada MARDI. Pelbagai aktiviti menarik turut dijadualkan berlangsung sepanjang pameran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!