Azizulhasni terus beraksi namun bergerak sendiri secara profesional

AZIZULHASNI
AZIZULHASNI
A
A
A

[DIKEMAS KINI] TEKA-teki mengenai masa depan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang terjawab apabila beliau pada Sabtu mengumumkan untuk meneruskan kariernya sebagai pelumba berbasikal trek namun secara profesional.

Atlet berusia 37 tahun itu berkata keputusan itu dibuat setelah berbincang bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam memastikan segala peruntukan dapat ditumpukan kepada pelumba lain.

"Saya mengambil keputusan untuk kembali aktif dalam arena berbasikal secara kompetitif namun perjalanan sedikit berbeza, saya tidak akan bersama dengan pasukan kebangsaan.

"Saya memilih untuk bergerak sendiri dan secara profesional. Ketika duduk dengan MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) saya meminta mereka untuk memberi tumpuan penuh peruntukan kepada atlet lain demi kesinambungan sukan kita," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Hannah di MSN di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Azizulhasni berkata, beliau bersedia untuk beraksi bersama skuad kebangsaan sekiranya khidmat beliau masih diperlukan terutamanya bagi temasya Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan.

Mohd Azizulhasni berkata setakat ini beliau merancang untuk beraksi bagi dua tahun akan datang dan masih belum memutuskan sama ada mahu beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 atau tidak.

Menurutnya antara sebab beliau membuat keputusan itu adalah untuk 'mengubat luka' gagal membawa pulang pingat emas dari Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya nak sambung untuk dua tahun mendatang dahulu, sebab pengakhiran di Paris tidak manis bagi saya, itu yang mengganggu saya sebagai atlet, saya bangunkan karier saya dengan baik. Kepayahan dan kesusahan saya dapat lalui, tapi pengakhiran begitu kurang manis dan tidak seperti yang saya mahukan.

"Harapnya ada manisnya dan dapat mengucapkan selamat tinggal dengan cara yang baik. Saya rasa tiada spesifik sasaran untuk tahun depan, cuma tahun ini sasaran untuk saya Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025. Untuk tahun depan saya belum duduk dan merancang secara terperinci," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pangkalan latihannya selepas ini, atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata beliau akan lebih banyak menjalani latihan di Malaysia.

"Saya dapat lebih masa untuk latihan bersama skuad negara dan saya akan manfaatkan masa dua tahun ini sebaiknya," katanya.

Pada Sukan Olimpik Paris 2024, penyertaan Mohd Azizulhasni dibatalkan ketika aksi pusingan pertama acara keirin kerana memotong derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek selain tewas dalam saingan 1/8 dan tersingkir di repechages acara pecut.

Selepas pulang dengan kekecewaan Mohd Azizulhasni memberi bayangan untuk menamatkan kariernya namun tertangguh apabila dipujuk untuk terus mewakili negara.

Beliau kemudian memohon sedikit ruang dan dilaporkan bersedia untuk mengumumkan keputusan mengenai kariernya pada Ramadan lepas namun tidak dapat direalisasikan atas beberapa faktor.

Mengulas lanjut mengenai pemberian geran individu, Hannah berkata, keputusan berkenaan tidak dibuat dalam tempoh yang singkat malah melibatkan pelbagai pihak.

Menurut menteri, beliau percaya Mohd Azizulhasni akan memanfaatkan geran itu sebaiknya berdasarkan sikap dan keperibadian yang sering ditampilkan atlet itu sepanjang berada dalam skuad kebangsaan.

"Saya rasa dua ratus ribu adalah sesuatu yang Malaysia mampu. Bagi sesetengah atlet lain, saya mungkin bimbang untuk memberikan mereka begitu banyak kebebasan untuk membuat keputusan mengenai latihan mereka sendiri, tetapi Mohd Azizulhasni tidak mempunyai masalah disiplin atau kurang motivasi.

"Apabila anda mempunyai seseorang yang memecahkan rekod kebangsaannya sendiri di Paris hanya lapan bulan lalu selepas menjalani pembedahan yang begitu serius, saya fikir belum tiba masa untuk mengetepikan beliau, jadi saya fikir itulah sebabnya mengapa ini pelaburan yang baik bagi pihak rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh menyambut baik pemberian geran individu kepada Mohd Azizulhasni.

"Saya percaya Datuk Azizulhasni akan memberi impak yang signifikan pada Sukan Asia (2026)," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!