Palsu daftar kelahiran: Ada lagi individu dalam radar JPN

SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenal pasti saki-baki individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan sijil kelahiran, termasuk pemaklum kelahiran dan pihak yang memanipulasi dokumen palsu.
Ketua Pengarahnya, Badrul Hisham Alias berkata, pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneruskan tangkapan dari semasa ke semasa
Katanya, JPN menyarankan mana-mana pihak yang pernah terlibat dalam aktiviti mendapatkan sijil kelahiran tidak teratur, sama ada sebagai pemaklum atau orang tengah, supaya tampil segera ke pejabat JPN untuk membantu siasatan.
"JPN menyeru orang ramai untuk lebih berhati-hati dengan tipu daya sindiket dan tidak menyalahgunakan data peribadi bagi mendapatkan imbuhan daripada pihak sindiket.
"Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan oleh JPN khususnya dalam permohonan pengangkatan (anak angkat).
"JPN akan terus komited dalam memastikan integriti serta ketulenan dokumen pengenalan diri negara kekal terpelihara tanpa sebarang kompromi," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, senarai tangkapan Ops tumpang Fasa 1 dan 2 adalah sebahagian daripada 87 senarai yang yang telah dikenal pasti oleh JPN dan SPRM sebelum ini.
Tegasnya, berikutan itu JPN percaya akan ada tangkapan susulan selepas ini termasuk individu yang akan hadir untuk menyerah diri.
Menerusi Op Tumpang 2.0 yang dilakukan di seluruh negara pada Selasa lalu, JPN menahan 10 individu termasuk enam wanita berusia 30 hingga 44 tahun.
Susulan itu, Sinar Harian melaporkan terdapat individu yang sanggup menjadi ‘ibu tumpang’ dengan mendaftarkan nama sebagai ibu kandung kepada bayi yang baru dilahirkan selepas dibayar imbuhan antara RM200 sehingga RM3,000 bagi setiap permohonan sijil kelahiran oleh sindiket.
Selain itu, ada antara wanita terbabit dipercayai turut menerima bayaran tetap daripada sindiket pemalsuan sijil kelahiran bayi dan melakukan perbuatan itu secara berulang.
Lelaki yang ditahan turut mendakwa menggunakan nama sebagai bapa kandung untuk mendaftar kelahiran bayi yang diperoleh daripada pihak ketiga seperti bayi luar nikah, anak tidak berdokumen atau warga asing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
