'Beli' bayi, sijil lahir: SPRM kesan transaksi sindiket sejak 2021

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan sejumlah RM5,000 hingga RM50,000 ditawarkan oleh sindiket kepada individu terlibat bagi menguruskan proses pembelian bayi dan penyediaan sijil kelahiran bayi.
Menurut sumber, siasatan awal SPRM dipercayai sejumlah kira-kira RM400,000 transaksi berlaku membabitkan sindiket tersebut yang dikesan beroperasi sejak tahun 2021.
“SPRM masih lagi dalam siasatan untuk mengenal pasti dalang-dalang sindiket yang terlibat dalam isu ini.
“Siasatan awal turut mendapati modus operandi yang digunakan oleh ejen ialah melalui iklan-iklan di media sosial dan juga melalui kenalan atas kenalan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam bin Mohmad Amin @ Hamim ketika dihubungi berkata, pihaknya kini dalam proses untuk mengesan lebih ramai individu atau ejen yang terlibat dalam membekalkan bayi-bayi serta yang terlibat dalam penyediaan dokumen palsu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat untuk tujuan tersebut.
Sebelum ini, SPRM pada Rabu telah menahan reman 14 individu kerana disyaki terlibat mengemukakan borang daftar kelahiran yang mengandungi butiran matan palsu berkenaan pengesahan kelahiran bayi sedangkan tiada rekod kelahiran di hospital yang terlibat.
Kesemua mereka direman lima hari sehingga 20 April.
Suspek yang terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 40-an itu ditahan pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.
Kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dengan memohon kad pengenalan dan sijil kelahiran anak kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggunakan butiran matan palsu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
