Pengarah syarikat rugi RM666,300 terpedaya pelaburan saham tidak wujud

Seorang lelaki warga tempatan yang juga merupakan pengarah sebuah syarikat swasta mengalami kerugian sebanyak RM666,300 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud. Gambar hiasan (Gambar kecil: Seng Lee)
Seorang lelaki warga tempatan yang juga merupakan pengarah sebuah syarikat swasta mengalami kerugian sebanyak RM666,300 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud. Gambar hiasan (Gambar kecil: Seng Lee)
A
A
A

KULAI – Seorang pengarah sebuah syarikat swasta mengalami kerugian sebanyak RM666,300 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, laporan daripada lelaki berusia 61 tahun itu diterima pada Jumaat.

Menurut beliau, mangsa tertarik menyertai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan antara lima hingga 10 peratus dalam tempoh tiga hari.

“Terpengaruh dengan tawaran itu, mangsa telah melakukan sebanyak 20 transaksi pembayaran berjumlah RM666,300 ke dalam dua akaun bank tempatan, bermula dari 4 Mac hingga 17 April.

“Selepas membuat pembayaran, mangsa mendapati aplikasi tersebut memaparkan jumlah keuntungan sebanyak RM1.4 juta.

“Namun apabila cuba membuat pengeluaran, mangsa diminta untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak RM100,000 dan mula menyedari telah ditipu selepas gagal mengeluarkan wang pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu berkaitan pelaburan tidak wujud yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

“Orang ramai juga disarankan menggunakan kemudahan dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti National Scam Response Centre (NSRC), CCID Infoline, Semak Mule, serta mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi jenayah komersil melalui laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!