Belajar adab dengan Jepun

Falsafah pendidikan Jepun ialah mendidik murid menjadi manusia beradab terlebih dahulu sebelum menekankan tentang aspek akademik. Foto hiasan
Falsafah pendidikan Jepun ialah mendidik murid menjadi manusia beradab terlebih dahulu sebelum menekankan tentang aspek akademik. Foto hiasan
A
A
A

ORANG Jepun memang terkenal dengan tahap disiplin, rasa hormat dan adab yang telah dipupuk sejak dari kecil lagi.

Satu daripada pendidikan unik yang diterapkan ialah menerusi aktiviti Kyushoku atau makanan pada waktu rehat yang disediakan di sekolah.

Program tersebut bermula sejak tahun 1889 atau 139 tahun lalu di sebuah sekolah swasta yang terletak berdekatan kuil Buddha di bandar Tsuruoka.

Pada ketika itu, sami Buddha mengumpulkan makanan sumbangan daripada komuniti untuk disediakan kepada kanak-kanak dalam kalangan keluarga miskin.

Amalan tersebut diteruskan sehingga kini yang turut menekankan pemakanan sihat seperti nasi, hidangan utama, sampingan, sup, pencuci mulut dan susu.

Namun ia bukan sekadar makan pada waktu rehat semata-mata tetapi proses pendidikan bermula apabila pelajar diberikan tugas untuk menyediakan makanan daripada awal hingga selesai.

Guru akan memberikan arahan dan murid-murid pula akan mengambil makanan untuk diagihkan kepada murid-murid lain sebelum mereka bersama-sama duduk dan menyebut perkataan ‘Itadakimasu’ bermaksud dengan rendah hati menerima atau mari makan dalam bahasa Jepun.

Mereka akan makan bersama guru masing-masing dengan penuh adab dan sopan serta tidak bercakap ketika menikmati hidangan yang disediakan.

Selepas selesai makan, murid-murid akan mencuci dan mengasingkan bekas-bekas yang digunakan termasuk menyisihkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula.

Artikel Berkaitan:

Jika ada lebihan nasi, mereka akan buat onagiri iaitu nasi kepal yang menjadi hidangan tradisional orang Jepun.

Jadi falsafah pendidikan Jepun ialah mendidik murid menjadi manusia beradab terlebih dahulu sebelum menekankan tentang aspek akademik yang akan diberikan tumpuan pada peringkat lebih tinggi.

Namun di Malaysia kita lebih menekankan aspek akademik dan mementingkan murid-murid mempunyai keupayaan menguasai kemahiran 3M (menulis, membaca dan mengira) atau literasi dan numerasi.

Kita juga ada falsafah pendidikan yang sama dengan Jepun iaitu mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Tetapi, ibu bapa lebih cenderung untuk mengetahui berapa banyak markah dan A yang diperoleh anak mereka supaya dapat masuk ke sekolah-sekolah berasrama penuh.

Inilah yang telah diterapkan dalam sistem pendidikan kita sejak puluhan tahun lalu dan sukar untuk mengubahnya, malah mendapat tentangan banyak pihak.

Sekarang kita berhadapan dengan masalah baru apabila jumlah keciciran pelajar semakin melebar. Ramai tidak berminat lagi belajar sehingga ada yang tidak mahu mengambil peperiksaan.

Inilah yang kita bimbang dengan masa depan Malaysia yang akan kehilangan ramai bakat-bakat dalam pekerjaan jika perkara seperti ini tidak dicegah dari awal.

Selain itu, nilai-nilai adab dan rasa saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat juga seolah-olah semakin hari semakin terhakis.

Paling ketara apabila melihat gelagat masing-masing di media-media sosial yang begitu ghairah menyemai kebencian antara satu sama lain, termasuk melakukan penghinaan terhadap kaum, agama dan budaya orang lain.

Perkara-perkara seperti ini tidak menjadikan negara kita jadi lebih baik tetapi akan menghancurkan negara sedikit demi sedikit.

Mungkin kerajaan sudah boleh fikirkan pendekatan mudah tetapi berimpak tinggi seperti Kyushoku ini akan dapat membina anak-anak Malaysia yang ada adab dalam kehidupan mereka pada masa depan.

Tiga tahun lalu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu video yang boleh dilihat di saluran YouTube mengatakan para ulama ada menyebut tentang belajarlah adab dahulu sebelum menuntut ilmu.

Menurut beliau, apabila malaikat Jibril berjumpa dengan Nabi Muhammad, Jibril menyandarkan lututnya kepada lutut nabi dan meletak kedua tangannya ke atas kedua pahanya dan itu semua menunjukkan tentang adab sebelum berbicara tentang ilmu.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!