Raja Muda Selangor berkenan lawat Balai Polis Bandar Country Homes

Sesi bergambar bersama Raja Muda Selangor dan pembesar negeri serta pegawai kanan polis yang hadir..
Sesi bergambar bersama Raja Muda Selangor dan pembesar negeri serta pegawai kanan polis yang hadir..
A
A
A

RAWANG - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, berkenan mengadakan lawatan rasmi ke Balai Polis Bandar Country Homes di sini pada Jumaat.

Lawatan baginda bertujuan untuk meninjau operasi balai polis serta mendapatkan taklimat mengenai situasi keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan perumahan membangun ini.

Keberangkatan tiba Raja Muda Selangor disambut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan serta Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail.

Dalam lawatan tersebut, baginda diberikan taklimat mengenai struktur organisasi balai, jumlah anggota, kemudahan logistik serta statistik berkaitan kadar jenayah dan usaha-usaha pencegahan sedang dijalankan di Bandar Country Homes dan sekitarnya.

Baginda turut menzahirkan minat terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pihak polis dalam memastikan keselamatan penduduk yang semakin bertambah.

Ayob Khan dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih atas kesudian Raja Muda Selangor meluangkan masa untuk melawat balai polis tersebut.

Beliau turut memaklumkan kepada baginda mengenai komitmen PDRM dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan kerjasama dengan masyarakat setempat bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni.

Sesi lawatan diteruskan dengan Raja Muda Selangor meninjau fasiliti-fasiliti yang terdapat di dalam balai polis berkenaan sebelum sesi bergambar.

Artikel Berkaitan:

Baginda kemudiannya berangkat meninggalkan Balai Polis Bandar Country Homes pada tengah hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!