Sultan Selangor berkenan rasmi projek Sime Darby Property
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Elmina Lakeside Mall (ELM) dan Elmina Outdoor Sculpture Museum (EOSM) milik Sime Darby Property di Bandar Elmina di Shah Alam pada Sabtu.
Baginda turut diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta beberapa Exco kerajaan Selangor.
Sejurus tiba, Sultan Selangor diberikan penerangan mengenai beberapa projek Sime Darby Property oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin meluangkan masa lebih dua jam melawat ELM dan EOSM sebelum beredar daripada Bandar Elmina.
Sementara itu, Azmir berkata, pihaknya berbesar hati dan menzahirkan penghargaan kepada Sultan Selangor yang sudi merasmikan pusat beli-belah dan muzium terbuka syarikat berkenaan.
"ELM merupakan pusat beli-belah kedua dimiliki sepenuhnya oleh Sime Darby Property selepas KL East Mall.
"Pusat beli-belah ini berkeluasan 6.96 hektar dan telah beroperasi sejak Ogos 2024," katanya ketika berucap pada majlis perasmian ELM dan EOSM.
Beliau memberitahu, sebanyak 99 peratus lot premis di ELM sudah disewa oleh pelbagai syarikat perniagaan dengan kehadiran lebih 180,000 pengunjung semasa pembukaan pusat beli-belah berkenaan.
Ujar beliau, terdapat laluan berbasikal, tempat meletak basikal dan 16 buah mesin pengecas bagi kenderaan elektrik (EV) di ELM.
"EOSM menjadi pelengkap kepada ELM dengan menyediakan ruang khusus untuk artis seni kreatif dalam dan luar negara mempamerkan hasil seni mereka.
"Kami percaya ELM dan EOSM bukan sahaja mengangkat Bandar Elmina melangkaui pusat kediaman dan komersial, malah menjadi destinasi pengunjung untuk melihat seni dan budaya dalam negara ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!