Zul Amirul Sidi syukur dilantik jurulatih renang paralimpik

SEREMBAN - "Terima kasihlah kepada semua dan inilah yang saya nanti-nantikan selama ini".
Demikian kata bekas atlet sukan renang paralimpik, Zul Amirul Sidi Abdullah, 53 yang terharu apabila dilantik sebagai jurulatih Persatuan Renang Para Negeri Sembilan selepas tiga hari kisahnya disiarkan Sinar Harian, 10 April lalu.
Kisahnya turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.
Menurut Zul Amirul Sidi, hatinya sedikit terubat apabila hasratnya untuk berbakti sebagai jurulatih atlet renang para di negeri ini disambut sekali gus bakatnya dihargai.
"Saya bukannya mahu menyalahkan mana-mana pihak, tetapi sedikit berkecil hati kerana rasa seperti dilupakan, mungkin juga orang tak tahu masalah saya.

"Tapi selepas dilaporkan media, pelbagai pihak datang membantu dan apabila dilantik pula sebagai jurulatih ini, saya bersemangat semula," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Exco Belia dan Sukan, Datuk Mustapha Nagor di kediamannya pada Khamis malam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Ahmad Syariffuddin Sarmin bersama pegawainya serta Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS), Zulkifli Muhamed.
Bapa kepada lima anak itu berkata, peluang untuk menjadi jurulatih renang atlet orang kurang upaya (OKU) sepertinya adalah yang diharapkannya selama ini.
Jelasnya, dengan pengalamannya selama 17 tahun dalam sukan renang, banyak yang boleh dikongsinya untuk melahirkan barisan pelapis atlet sukan renang paralimpik Negeri Sembilan.
"Saya tidaklah kata yang saya ini pandai sangat, tapi saya dah buktikan kejayaan saya sebagai bekas atlet dan sekarang saya nak berkongsi kemahiran yang ada.
"Terima kasih kepada PCRS yang ketengahkan cerita saya dan terima kasih kepada Datuk Mustapha kerana menjenguk saya. Bukan nilai bantuan yang saya pandang, tetapi hati lebih terubat apabila ada orang ingat kita, jenguk pun sudah cukup," katanya.
Sementara itu, Mustapha berkata, dia mewakili pimpinan kerajaan negeri turun padang menyantuni Zul Amirul Sidi bagi menyampaikan sagu hati kepadanya sekali gus melihat sendiri keadaannya.
"Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) sendiri bertanyakan perkara ini dan ia dibincangkan dalam mesyuarat Exco yang lalu.
"Kita nak beritahu yang dia tidak berseorangan dan sumbangan diberi sebagai menyuntik semangatnya dan saya difahamkan dia juga sudah menerima surat pelantikan sebagai jurulatih atlet para," katanya.
Beliau berpendapat, Zul Amirul Sidi mempunyai semangat dan minat yang tinggi dalam sukan dan adalah satu kerugian sekiranya pengalamannya tidak digunakan untuk melahirkan pelapis sukan renang para.
Tambahnya, kemungkinan pihak-pihak tertentu terlepas pandang dengan kemampuan yang ada pada Zul Amirul Sidi, tetapi apabila dilaporkan ia telah membuka peluang.
"Kami di peringkat kerajaan negeri boleh beri ruang dan peluang kepada Zul Amirul Sidi untuk terus melahirkan atlet renang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!