YAKEB prihatin nasib bekas atlet

Laporan Sukan Sinar pada 11 April. Gambar kecil: Zuhairi
Laporan Sukan Sinar pada 11 April. Gambar kecil: Zuhairi
A
A
A

BEKAS atlet negara yang berdepan ujian dalam menjalani kehidupan seharian usah 'berdiam diri', sebaliknya perlu menyuarakan masalah mereka kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Pengurus besarnya, Zuhairi Abdul Manaf berkata, ia bagi membolehkan badan tersebut menyalurkan sumbangan yang sesuai dengan keperluan mereka selaras dengan 12 Skim Bantuan Khas yang disediakan buat ahli.

Malah beliau turut berharap, ahli memaklumkan sebarang perkembangan agar YAKEB dapat memantau secara berterusan dan memastikan mereka mendapat perhatian serta bantuan yang diperlukan.

“YAKEB komited dan prihatin dengan sebarang isu yang dihadapi oleh bekas atlet. Sebarang aduan atau masalah boleh terus berhubung dengan kami.

“Pelbagai saluran boleh digunakan untuk berhubung dengan pengurusan YAKEB. Selain menerusi telefon mereka juga boleh menulis surat kepada kami untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sukan Sinar pada Jumaat melaporkan bekas atlet Paralimpik negara, Zul Amirul Sidi Abdullah kini menjalani kehidupan serba kekurangan selepas bersara daripada dunia sukan sejak 2017.

Menjelaskan isu tersebut, Zuhairi memaklumkan bahawa atlet berusia 53 tahun itu sememangnya mendapat bantuan daripada YAKEB berupa wang tunai dan barangan keperluan sejak 2020.

“Sekiranya Zul Amirul atau ahli YAKEB yang lain memerlukan sebarang bentuk tambahan bantuan boleh menghubungi kami di talian 03-20924844 atau emel yasmeen@yakeb.org.my,” katanya.

Sebagai rekod, YAKEB menawarkan 12 Skim Bantuan Khas meliputi khairat kematian ahli, suami atau isteri ahli, rawatan perubatan penyakit kritikal dan bukan kritikal, rawatan perubatan hospital (pesakit luar) dan bantuan alat sokongan perubatan.

Artikel Berkaitan:

Bantuan lain ialah bencana alam, melangsungkan perkahwinan, bantuan kewangan ahli serta bantuan melanjutkan pelajaran meliputi tiga kategori iaitu sijil, diploma dan ijazah.

Kesemua bantuan tersebut tertakluk kepada terma dan syarat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!