[VIDEO] MKLSB dakwa belum terima pampasan, bayaran

A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perebutan dua syarikat berkenaan hak pengurusan ke atas Menara Kuala Lumpur semakin panas apabila Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) membuat satu sidang media mengejut sehari selepas operasi menara ikonik Malaysia itu ditutup.

Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh pada sidang media itu membuat beberapa dakwaan dan menepis beberapa tuduhan ke atas MKLSB.

Beliau mendakwa sehingga ke hari ini di sebalik pengusiran dan penutupan Menara Kuala Lumpur, pihak kerajaan dan LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) masih belum menyelesaikan sebarang pampasan atau bayaran berkaitan liabiliti kepada syarikat konsesi lama.

Abdul Hamid mendedahkan, sebelum ini syarikatnya bukan sahaja membeli saham MKLSB pada nilai RM3.7 juta, malah turut menanggung aset dan liabiliti melebihi RM12 juta, serta liabiliti luar jangka termasuk timbang tara sebanyak RM314 juta.

"Walaupun liabiliti itu tidak berpunca daripada pihak syarikat, namun ia tetap ditanggung sepenuhnya setelah pemilikan saham dipindahkan.

“Dan sehingga hari ini, pihak kerajaan dan LSHSM masih belum menyelesaikan sebarang pampasan atau bayaran berkaitan liabiliti tersebut,” dakwanya.

Abdul Hamid ketika sidang akhbar di sebuah hotel di Ibu negara pada Jumaat.
Abdul Hamid ketika sidang akhbar di sebuah hotel di Ibu negara pada Jumaat.

Dakwa Abdul Hamid lagi, pengambilalihan konsesi pengurusan Menara Kuala Lumpur oleh syarikatnya pada tahun 2022 dilakukan secara sah melalui proses tender terbuka, bukan rundingan terus seperti yang dituduh sesetengah pihak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, konsesi tersebut diperoleh melalui proses Request for Proposal (RFP) yang dibuka pada 3 Ogos 2022 dengan penyertaan lima syarikat termasuk Hydroshoppe Sdn Bhd, Banjaran Sdn Bhd, Q-Space Sdn Bhd, Westar Sdn Bhd dan Enspire Ventures Sdn Bhd.

Tambah Abdul Hamid, selepas melalui proses penilaian menyeluruh oleh jawatankuasa di bawah Kementerian Komunikasi ketika itu, Hydroshoppe Sdn Bhd dipilih secara merit dan profesional untuk mengambil alih konsesi pengurusan menara ketujuh tertinggi di dunia itu.

“Justeru, tuduhan bahawa kami memperolehnya secara rundingan terus (direct nego) adalah tidak berasas dan berniat jahat,” katanya dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tindakan penutupan Menara Kuala Lumpur baru-baru ini sebagai satu bentuk penyitaan dan pengusiran paksa oleh kerajaan.

“Tindakan ini bukan berkaitan penyelenggaraan seperti yang disebut dalam notis awam, tetapi lebih kepada cubaan untuk menyingkirkan pengurusan sedia ada secara tidak sah,” katanya.

Menurut beliau, operasi berskala besar itu dijalankan lewat malam dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Komunikasi dan Pejabat Tanah Persekutuan.

Beliau berkata, MKLSB kekal sebagai pemegang konsesi sah dan masih menjalankan operasi seperti biasa mengikut terma yang ditetapkan dalam kontrak kerajaan.

“Adalah tidak wajar tindakan keras ini diambil tanpa penyelesaian terhadap isu liabiliti dan pampasan yang telah kami tanggung sejak pengambilalihan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid menafikan dakwaan bahawa MKLSB gagal mengurus Menara Kuala Lumpur dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Menurut beliau, laporan rasmi daripada Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Komunikasi turut mengesahkan bahawa syarikatnya telah mencapai 100 peratus prestasi kerja dan mematuhi semua obligasi kontrak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!