Isu kebun durian haram: Muda Pahang syor tubuh RCI

KUANTAN- Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pahang mengesyorkan agar Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan ekoran isu pencerobohan haram tanah kerajaan oleh pekebun durian di negeri ini.
Pemangku Pengerusinya, Ahmad Zarul Afiq Arifudin berkata, RCI itu juga dapat menyiasat dalang yang membiarkan isu tersebut berlarutan selama puluhan tahun.
"Kami menyambut baik titah Tuanku Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertegas terhadap pencerobohan haram tanah kerajaan yang berleluasa.
"Hal ini bertepatan dengan polemik pertikaian kebun durian haram di Raub, Pahang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau menegaskan, siasatan tersebut berasas kerana ia bukan hanya isu perundangan, tetapi turut melibatkan keadilan sosial, integriti pentadbiran, dan kelestarian masa depan negeri.
Jelasnya, polemik terbabit melibatkan ratusan hektar tanah kerajaan, ribuan rakyat yang terkesan akibat pencemaran alam sekitar, serta kedaulatan integriti pentadbiran negeri.
"Pencerobohan ini bukan berlaku semalam atau tahun lepas, tetapi telah berlanjutan selama puluhan tahun. Ia merugikan jutaan ringgit hasil negeri serta menyebabkan pencemaran alam sekitar.
"Penceroboh dan dalang mesti diadili, manakala integriti pentadbiran perlu ditegakkan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!