Perak utamakan isu kedaulatan negara sebelum laksana projek komersial

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Isu keselamatan sempadan dan kedaulatan negeri akan diberi keutamaan terlebih dahulu oleh kerajaan Perak sebelum merancang pembangunan ekonomi serta komersial di kawasan sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit yang baharu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembinaan Kompleks ICQS Bukit Berapit yang baharu telah diumumkan Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2025 dan dijangka dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Menurutnya, pembinaan Kompleks ICQS baharu yang lebih hampir dengan pintu sempadan bakal menyelesaikan isu keselamatan melibatkan akses keluar dan masuk sempadan negara dan secara langsung memberi peluang untuk pembangunan aktiviti ekonomi di kawasan persekitarannya.

"Kerajaan negeri bersedia untuk memudah cara urusan berkaitan tanah yang akan dimohon oleh Kementerian Dalam Negeri bagi pembangunan Kompleks ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu yang baharu.

"Kerajaan negeri perlu memastikan isu keselamatan sempadan dan kedaulatan negeri diberi keutamaan terlebih dahulu sebelum merancang pembangunan ekonomi dan komersial di kawasan sekitar kompleks ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohamad Amin Roslan (PN-Pengkalan Hulu) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri akan menyokong dan meneruskan kerjasama dengan pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan atau swasta untuk menggalakkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi di kawasan Pengkalan Hulu.

Katanya, ia akan dilaksanakan seperti mana yang dihasratkan di dalam beberapa rancangan pemajuan seperti Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan Daerah serta Kajian Sempadan Antarabangsa Malaysia-Thailand.

Artikel Berkaitan:

"Antaranya ialah kerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi Projek Pembangunan Sempadan Trail Pelancongan di Pengkalan Hulu, Perak yang terdiri daripada tiga komponen iaitu menaik taraf Tasik Takong, Kroh Hotspring dan Bukit Berapit. Kerja-kerja menaiktaraf ini akan bermula pada suku pertama 2025 dan dijangka berakhir pada suku ketiga 2026.

"Setelah kerja-kerja menaiktaraf ini selesai, kawasan tersebut akan diserahkan semula kepada Majlis Daerah Pengkalan Hulu," jelasnya.

Beliau berkata, kerja-kerja naik taraf itu dijangka menyokong sektor pelancongan di Pengkalan Hulu dan menggalakkan kemasukan pelancong-pelancong dari Thailand.

Katanya, pada masa sama ia akan membuka peluang kepada warga tempatan untuk menjana pendapatan melalui perniagaan di kawasan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!