'Teguran' ALLAH di Tanah Suci

Jaga percakapan, tingkah laku sepanjang menunaikan ibadah di sana

PELIHARALAH tutur kata, hati dan perlakuan kita daripada perkara yang melanggar 'adab' ketika beribadah di Tanah suci. -Foto: 123RF
PELIHARALAH tutur kata, hati dan perlakuan kita daripada perkara yang melanggar 'adab' ketika beribadah di Tanah suci. -Foto: 123RF
A
A
A

SETIAP langkah menuju Tanah Suci adalah satu perjalanan hati dan bukan sekadar ibadah zahir, tetapi medan ujian jiwa yang memerlukan keikhlasan, kesabaran serta adab tinggi.

Dalam suasana penuh barakah di Makkah dan Madinah, tidak hanya solat dan tawaf yang dinilai, tetapi juga tutur kata, niat tersembunyi dan prasangka dalam hati.

Pengalaman menunaikan umrah pada tahun 2018 menjadi titik muhasabah yang mendalam buat Imam 1, Surau Rumah Iskandar Malaysia di Johor, Mohd Kamal Tumin.

MOHD KAMAL
MOHD KAMAL

Walaupun sudah tujuh tahun berlalu, kenangan itu tetap segar dalam ingatannya kerana membawa pengajaran yang tidak ternilai.

Masakan tidak, sepanjang berada di Tanah Suci, beliau diuji dengan kesakitan termasuk demam berpanjangan, tumit kaki pecah dan sukar untuk berjalan hatta menginjak kaki ke tanah.

Keadaan itu menyebabkan Mohd Kamal tidak dapat mengikuti beberapa siri ziarah penting bersama jemaah lain.

Artikel Berkaitan:

Kesakitan tersebut bukan sekadar fizikal, tetapi menyentuh jiwa kerana beliau menyedari segalanya bermula dengan kelalaian menjaga adab dalam berbicara dan berprasangka.

“Ketika itu, saya berusia 48 tahun dan mengikut bapa saudara yang juga mutawif rombongan kami. Mengikut jadual, rombongan kami mula berihram di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan tiba di Makkah dahulu menunaikan umrah, sebelum ke Madinah.

MOHD KAMAL ketika berihram di KLIA sebelum berlepas ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah tujuh tahun lalu. -Foto: IHSAN MOHD KAMAL TUMIN
MOHD KAMAL ketika berihram di KLIA sebelum berlepas ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah tujuh tahun lalu. -Foto: IHSAN MOHD KAMAL TUMIN

“Namun, hanya tiga hari saja saya benar-benar dalam keadaan sihat, selebihnya saya sakit, rasa tak tentu arah dan asyik hendak berbaring. Akibatnya, banyak juga tempat-tempat yang saya tak dapat ikut lawatan rombongan,” ceritanya.

Mengata dalam hati

Tertanya-tanya juga mengapa dirinya diuji sedemikian rupa. Setelah melakukan introspeksi, Mohd Kamal sebelum ini rupanya pernah ‘mengata’ rakan sebiliknya walaupun sekadar dalam hati.

Ketika di Makkah, beliau bersama bapa saudaranya ditempatkan bersama dua jemaah lagi dalam satu bilik di sebuah hotel berhampiran dengan Masjidil Haram.

Salah seorang jemaah mengakui dirinya kurang sihat, namun keadaan fizikalnya memperlihatkan sebaliknya kerana nampak seperti tidak sakit.

“Masa itu terdetik dalam hati saya ‘Dia ini betul-betul sakit atau buat-buat sakit’ sebab nampak sihat saja. Tiga hari kemudian, giliran saya pula sakit dan asyik terbaring saja di katil.

“Ketika itu barulah saya tersedar ada berprasangka buruk kepada rakan sebilik yang selalu dilihat terbaring di katil dan tidak mengikut kami untuk keluar seperti ke Masjidil Haram dan lain-lain. ALLAH SWT ‘bayar tunai’ pada saya,” ungkapnya.

MOHD KAMAL (kanan) bersama bapa saudaranya, yang juga mutawif bagi rombongannya. -Foto: IHSAN MOHD KAMAL TUMIN
MOHD KAMAL (kanan) bersama bapa saudaranya, yang juga mutawif bagi rombongannya. -Foto: IHSAN MOHD KAMAL TUMIN

Saat diri diuji kesakitan, rakan sebilik Mohd Kamal pula sihat dan dapat menyertai rombongan kumpulannya bagi melawat beberapa tempat menarik di Makkah dan Madinah di sepanjang tempoh mengerjakan ibadah umrah.

“Sudah jadi terbalik pula, kawan sebilik saya yang sakit masa mula-mula sampai ke Makkah pula sihat walafiat, tetapi saya terlantar sakit. Memang tak disangka-sangka saya pula yang asyik terbaring dalam bilik (hotel) itu.

“Betullah macam yang saya selalu dengar, jangan terlepas cakap atau mempunyai apa-apa prasangka buruk di Tanah Suci sebab ALLAH SWT akan ‘bayar terus’. Malah, masa kursus (umrah) pun ada sebut (tentang perkara itu).

“Perkara itu memang benar-benar terjadi kepada saya. Cuma bila saya cerita dan tunjukkan kaki saya yang sakit kepada rakan sebilik (yang sakit tadi), dia menasihatkan saya agar jangan risau dan akan sembuh bila kembali ke Malaysia nanti dan memang benar, sakit itu hilang begitu sahaja sebaik tiba di negara ini,” imbasnya.

MOHD KAMAL ketika melakukan lawatan sempena ibadah umrah. -Foto: IHSAN MOHD KAMAL TUMIN
MOHD KAMAL ketika melakukan lawatan sempena ibadah umrah. -Foto: IHSAN MOHD KAMAL TUMIN

Ujian dalam sesak

Satu lagi peristiwa yang masih lagi mekar dalam ingatan Mohd Kamal adalah ketika mana beliau hendak menunaikan solat di dalam Masjidil Haram.

Saat itu, ruang masjid sudah penuh sesak dan mutawif yang memimpin rombongan jemaah memberikan arahan supaya ahli rombongan membuka selipar yang dipakai dan meninggalkannya di pintu masuk berkenaan.

Usai solat, mereka berpatah balik ke pintu masuk sama. Namun, pemandangan yang menanti benar-benar menguji kesabaran apabila timbunan selipar yang entah milik siapa sedang disusun oleh para petugas masjid. Apatah lagi, kawasan sekitar pula dalam proses ubah suai, menjadikan ruang makin sempit dan kelam-kabut.

Dalam hati, Mohd Kamal mula berdoa perlahan dan penuh pengharapan agar dipermudahkan urusan menemukan seliparnya.

MOHD KAMAL mengimamkan solat fardhu Subuh, sempena program Semarak Subuh - Subuh Macam Jumaat, di Surau Rumah Iskandar Malaysia, Johor, baru-baru ini.
MOHD KAMAL mengimamkan solat fardhu Subuh, sempena program Semarak Subuh - Subuh Macam Jumaat, di Surau Rumah Iskandar Malaysia, Johor, baru-baru ini.

“Selepas berdoa, didapati saya berdiri betul-betul di sebelah selipar yang saya tinggalkan tadi di pintu masuk berkenaan.

“Masya-ALLAH, ALLAH SWT memang MAHA BERKUASA atas segalanya. Namun dalam masa sama, sebagai hamba-NYA, kita masih perlu sentiasa beradab dan beramal soleh dalam usaha beroleh limpahan rahmat daripada YANG MAHA ESA,” tuturnya.

Sebelum berundur, beliau sekali lagi mengingatkan agar menjaga percakapan dan tingkah laku ketika di tanah haram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!