Jual hasil Felda guna orang tengah hanya kes terpencil

SHAH ALAM - Tindakan segelintir peneroka Felda yang menggunakan orang tengah atau peraih untuk menjual hasil kelapa sawit hanya kes terpencil dan tidak menggambarkan penglibatan peneroka secara menyeluruh, kata Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.
Menurutnya, perkara tersebut didakwa berlaku sejak tahun 2017 sehingga kini melibatkan segelintir generasi daripada pewaris yang sudah meninggal dunia.
Dakwanya, tindakan menggunakan orang tengah juga melibatkan anak-anak peneroka yang dipercayai terdesak disebabkan perolehan pembayaran hasil yang lewat daripada Felda berbanding menggunakan peraih lain.
“Bila Felda lepas penyenaraian, kita dah susah masa itu... jadi ada hasil yang peneroka hantar, kadang-kadang Felda bayar lambat... waktu ini mereka (orang tengah atau peraih) ambil kesempatan.
“Sebenarnya ia tidak melibatkan peneroka secara keseluruhan. Hanya segelintir, mungkin tak sampai 1,000 orang. Mereka ini perlukan dana untuk keperluan kehidupan baharu. Ada yang anak masih kecil, bersekolah.
“Ada juga beberapa kes yang seakan jadi terikat sebab ada kemudahan lain. Mereka dapat buat pinjaman dengan orang tengah. Ambil duit dulu, hasil kemudian...bila berlarutan ada yang terikat. Tapi bukan semua,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengarah Besar Perladangan Felda, Izham Mustaffa berhubung tindakan peneroka Felda yang menggunakan orang tengah atau peraih untuk menjual hasil kelapa sawit menyebabkan wujud pelbagai isu ketirisan, malah menyebabkan mereka kerugian tanpa sedar.
Sulong Jamil menambah, selain kes terdesak dan terikat disebabkan pinjaman dibuat, beliau percaya sikap tidak mahu membayar hutang juga menjadi punca terdapat generasi Felda yang memilih menggunakan khidmat orang tengah.
“Dia ada niat tidak mahu membayar hutang. Hutang tanam semula dengan Felda dan lainlain. Jadi mereka pilih guna orang tengah,” dakwanya.
Sehubungan itu jelasnya, usaha mengatasi isu kelewatan pembayaran dilaksanakan dengan penubuhan pusat mengumpul sawit (PMS) di kawasan tanah rancangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!