Selepas Xi Jinping, jemputlah Trump lawat Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada Presiden China, Xi Jinping di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada Presiden China, Xi Jinping di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

LAWATAN rasmi Presiden China, Xi Jinping selama tiga hari ke Malaysia yang berakhir pada Khamis berjaya mengeratkan lagi hubungan persahabatan kedua-dua negara di tengah-tengah kekalutan sistem perdagangan dunia akibat perang tarif Amerika Syarikat (AS).

Kunjungan Xi Jinping itu adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong semasa Sultan Ibrahim melakukan lawatan negara ke China pada September tahun lalu. Ini merupakan lawatan rasmi kedua Xi Jinping dalam tempoh 12 tahun selepas kunjungan beliau pada 2013.

Lawatan Xi Jinping itu juga adalah sebahagian daripada jelajah Asia Tenggara - Vietnam, Malaysia dan Kemboja, ketika Beijing berusaha menampilkan dirinya sebagai kuasa yang lebih stabil dan boleh dipercayai berbanding Presiden Donald Trump.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila Trump dalam sidang akhbarnya di Rumah Putih Selasa lalu menyindir lawatan Xi Jinping ke Vietnam dengan mendakwa pertemuan itu bertujuan melemahkan AS atau ‘sedang merancang bagaimana mahu mengenakan AS’.

Trump mengenakan tarif timbal balas 24 peratus ke atas Malaysia, Vietnam (46 peratus) dan Kemboja (49 peratus). China dikenakan tarif 245 peratus.

Bagi Malaysia, kunjungan Xi Jinping tidak bermakna kita kini berpihak kepada China. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menegaskan kepada Xi Jinping mengenai pendirian dan kesepakatan bersama negara anggota ASEAN untuk meneruskan rundingan dengan AS berhubung isu tarif.

China dan AS kedua-duanya penting dalam hubungan dagang dan geopolitik negara. Sewajarnya selepas Xi Jinping, Trump juga dijemput untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia.

Dalam sejarah 51 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China, ramai pemimpin utama China telah berkunjung ke Malaysia, antaranya Deng Xiao Ping, Jiang Zemin, Li Peng, Zu Rongji dan Hua Jintao.

Artikel Berkaitan:

Namun walaupun hubungan dengan AS lebih lama berbanding China, hanya terdapat dua Presiden AS yang pernah melakukan lawatan rasmi ke Malaysia iaitu Lyndon B. Johnson pada 1966 dan ikuti 48 tahun kemudian oleh Barack Obama pada 2014. Obama juga pernah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS di Kuala Lumpur pada 2015.

Kalau pun Trump tiada kesempatan untuk datang tidak mengapa, sekurang-kurangnya kita sudah menunjukkan kesungguhan untuk menjadi sahabat yang boleh dipercayai selain dilihat lebih bersikap berkecuali dalam pertembungan dua kuasa besar dunia itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!