Pilih pemimpin hebat, bukan jadi penumpang di MOM

(Dari kiri), Nur Azmi, Awalan, Mohd Sumali dan Kim Fatt antara pemimpin yang dilihat cemerlang pemimpin persatuan sukan masing-masing.
(Dari kiri), Nur Azmi, Awalan, Mohd Sumali dan Kim Fatt antara pemimpin yang dilihat cemerlang pemimpin persatuan sukan masing-masing.
A
A
A

AHLI-ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) diseru lebih telus dalam memilih pemimpin hebat dari kalangan pemimpin-pemimpin Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) yang cemerlang untuk dipilih menganggotai badan induk MOM bagi penggal 2025-2029. Elakkan bersifat ‘kronisme’ dan apatah lagi ‘nepotisme’ pada pemilihan yang akan diadakan pada Sabtu ini.

Ia bagi memperkukuhkan imej MOM dan sekali gus merupakan satu pengiktirafan atau penghormatan kepada pemimpin-pemimpin persatuan sukan kebangsaan yang menunjukkan kecemerlangan dan kesungguhannya serta terbukti telah memberikan banyak sumbangan dalam memajukan organisasi yang dipimpinnya.

Secara tidak langsung ia merupakan satu ‘platform’ penanda aras atau ‘KPI’ yang menjadi pengukur kepada keistimewaan itu walaupun tidak diangkat secara automatik namun ia menjadi satu faktor motivasi yang tinggi kepada pemimpin-pemimpin PSK yang cemerlang untuk berada pada satu tahap yang lebih tinggi di MOM.

Pada masa juga ‘imej dan status’ MOM menjadi lebih terserlah kerana dibarisi oleh pemimpin-pemimpin PSK yang hebat untuk membantu Presiden menerajui badan induk sukan paling utama di negara ini.

Ia juga bagi mengelakkan ahli yang terpilih khususnya bagi jawatan tertinggi di MOM ini dianggotai oleh pemimpin yang boleh dianggap hanya sebagai ‘penumpang’ sahaja, tanpa sumbangan ketara bukan sahaja kepada persatuan yang diwakilinya bahkan juga sewaktu mereka menduduki kerusi di MOM.

Malah terdapat juga pencalonan untuk bertanding di MOM ini tidak mengikut atau melangkaui ‘hierarki’ jawatan utama dalam sesebuah persatuan sukan kebangsaan. Walaupun mungkin peraturan membenarkan atau ada sebab-sebab tersendiri tetapi senario ini memberikan gambaran yang tidak baik daripada aspek kepimpinan sesebuah organisasi itu dan sepatutnya tidak dipraktikkan.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengekalkan jawatanya sebagai Presiden MOM bagi penggal 2025-2029 selepas diumumkan menang tanpa bertanding selepas tutup pencalonan empat hari lalu.

Bagaimanapun jawatan Timbalan Presiden menjadi perebutan antara Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) yang juga Naib Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad, sebelum ini dan lawannya adalah Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz.

Artikel Berkaitan:

Biarpun Datuk Nur Azmi dianggap calon ‘berprofil tinggi’ untuk posisi itu namun kelebihan Awalan yang juga merupakan Presiden Majlis Datuk Dato’ Malaysia tidak boleh diketepikan.

Sementara persaingan menarik sudah pasti bagi merebut lima jawatan sebagai Naib Presiden MOM (satu jawatan khusus untuk calon wanita) dijangka lebih menarik.

Terdapat tujuh calon bertanding dengan Datuk Chong Kim Fatt (Persekutuan Wushu Malaysia) dan Datuk Mohd Sumali Reduan (Presiden Sepaktakraw Malaysia) dianggap pemimpin PSK yang telah menunjukkan kecemerlangan dan berwibawa dalam menerajui organisasi masing-masing untuk menduduki kerusi tersebut.

Lain-lain calon Naib Presiden MOM terdiri daripada Datuk Iruan Zulkefli (Persekutuan Tinju Malaysia), Gerad Monteiro (Persatuan Raket Skuasy Malaysia) dan Azizul Anuar Adenan (Presiden Taekwondo Malaysia).

Dua calon wanita adalah penyandang Datuk Paduka Mumtaz Jaafar bekas atlet oahraga kebangsaan dan Nurul Huda Abdullah (Penolong Setiausaha Persekutuan Renang Malaysia (MAS) yang juga bekas perenang negara.

Semoga pemilihan badan induk MOM berjalan lancar dan ahli-ahli gabungan dapat memilih pemimpin-pemimpin hebat mengikut merit masing-masing demi untuk kemajuan sukan negara.

- Penganalisis Sukan Negara Datuk Dr Pekan Ramli

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!