ISTAF bangga pelantikan Sumali sebagai Naib Presiden MOM

Mohd Sumali
Mohd Sumali
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menyifatkan pelantikan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai satu pencapaian membanggakan buat komuniti sukan sepak takraw.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, pemilihan Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, membuktikan keyakinan ahli gabungan MOM terhadap kepimpinan yang gigih memperjuangkan sukan tradisional dan serantau.

“Dengan peranan baharu beliau di MOM, saya percaya Sumali akan memperoleh pendedahan lebih mendalam dalam tadbir urus sukan antarabangsa, pematuhan terhadap peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), serta memahami gerakan Olimpik. Pengalaman ini diharap dapat dimanfaatkan untuk memajukan sukan sepak takraw,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada pemilihan tersebut, Sumali berjaya memperoleh 80 undi, menewaskan enam calon lain. Beliau hanya ketinggalan satu undi di belakang Presiden Taekwondo Malaysia (WTF), Azizul Anuar Adenan yang memperoleh 81 undi.

Sumali menewaskan calon lain antaranya Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Iruan Zulkefli (65 undi); Penolong Setiausaha Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Nurul Huda Abdullah (62 undi); dan Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM), Datuk Chong Kim Fatt (56 undi).

Dua lagi calon, iaitu bekas atlet olahraga kebangsaan, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar dan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro masing-masing memperoleh 52 dan 49 undi.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kekal sebagai Presiden MOM bagi penggal 2025–2029 selepas menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan MOM ke-44 yang berlangsung pada Sabtu.

Norza, yang juga calon tunggal bagi jawatan tersebut, menerima mandat sebulat suara daripada ahli gabungan, sekali gus melanjutkan kepimpinan beliau untuk penggal ketiga sejak mula menerajui MOM pada 2018.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden yang dikosongkan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin, dimenangi Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad yang memperoleh 70 undi, menewaskan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz (20 undi).

Dalam pada itu, Abdul Halim turut menyambut baik pemilihan semula Norza, yang disifatkan sebagai langkah positif dalam usaha memperkasa pembangunan sukan negara.

“Di bawah kepimpinan berterusan Tan Sri Norza, kita menjangkakan kemajuan dalam aspek tadbir urus, sistem prestasi atlet, dan usaha memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Komitmen beliau terhadap inovasi, kecemerlangan dan kerjasama strategik pasti akan menyumbang kepada inisiatif baharu yang dapat memanfaatkan ekosistem sukan dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat global,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau yakin Norza dan Sumali akan terus memainkan peranan lebih proaktif dalam memajukan landskap sukan negara.

“Kami komited menyumbang ke arah legasi pembangunan dan kecemerlangan sukan, serta percaya kepimpinan mereka akan mengukuhkan hubungan antara badan sukan kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!