Piala Malaysia: TFC perlu lebih konsisten, tak pandang mudah Negeri Sembilan
PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali menggesa anak buahnya meneruskan momentum kemenangan ketika berdepan Negeri Sembilan FC pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban pada Sabtu.
Pengendali berusia 48 tahun itu berkata, pemain perlu menampilkan aksi lebih baik dan konsisten bagi memastikan skuad Penyu mara ke peringkat separuh akhir piala paling berprestij negara itu.
Katanya, pemain-pemain perlu berusaha mendapatkan gol awal bermain di laman lawan sebagai suntikan semangat untuk bekalan perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Disember.
“Saya harap pemain dapat kekalkan mentaliti kemenangan seperti sewaktu bertemu Melaka FC tempoh hari.
“Paling penting cuba dapatkan gol awal untuk naikkan semangat dan cetus impak positif perlawanan. Kita perlu menjaringkan seberapa banyak gol untuk bekalan selesa dibawa ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya.
Bekas tonggak tengah Terengganu itu juga mengingatkan barisan pemain skuad Penyu supaya tidak memandang rendah keupayaan lawan walaupun skuad Rusa kini menduduki tangga tercorot Liga Super.
Katanya, pemain-pemain perlu menjangkakan kejutan skuad bimbingan K Nanthakumar itu, yang pastinya akan memberi tentangan sengit terhadap Terengganu untuk meraih kemenangan di tempat sendiri.
“Lagipun cabaran dalam liga dan Piala Malaysia sangat berbeza. Aura dan semangat pasukan untuk merebut ibu segala piala' itu tidak sama.
“Oleh itu jangan ambil mudah keupayaan lawan. Sentiasa waspada dan peka dengan pergerakan lawan mereka,” katanya yang turut lega kerana semua pemain bebas daripada kecederaan dan penggantungan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!