Kenapa durian Raub paling disukai penduduk di China?

Durian Malaysia mendapat sambutan baik di China. Foto hiasan
Durian Malaysia mendapat sambutan baik di China. Foto hiasan
A
A
A

PRESIDEN China, Xi Jinping ada menulis dalam Sinar Harian baru-baru ini betapa rakyatnya amat sukakan durian Malaysia. Apatah lagi kata beliau, durian segar dari kebun di Malaysia kini boleh tiba di pasar raya di China hanya dalam masa sehari.

Selera penduduk China terhadap durian memang luar biasa. Selain dimakan begitu sahaja, mereka juga gemar buat piza durian, burger durian, chicken hot pot durian hinggalah barbeku durian.

Pada 2024, China import 1.56 juta tan durian bernilai RM32 bilion. Sebahagian besar durian segar dan sejuk beku ini dibawa masuk dari Thailand dan Vietnam. Kita cuma eksport sekitar RM1 bilion kerana tak cukup bekalan.

Meskipun begitu, durian Malaysia juga tidak kalah di China, setidak-tidaknya dari segi tekstur dan rasa enaknya. Ini termasuklah durian dari Raub, Pahang.

Merak Jalanan diberitahu buah durian segar musang king dari daerah ini dijual pada harga 350 yuan sekilogram di China, bersamaan RM218. Namun, ia cukup laris kerana kualiti dan rasa buah tersebut yang lemak bak aiskrim.

Dengan latar belakang ini, fahamlah Merak Jalanan kenapa ada pekebun durian dan pemimpin tertentu bermati-matian mempertahankan kebun mereka yang dibuka secara haram di tanah kerajaan negeri. Rupa-rupanya tanam durian boleh untung besar berbanding kerja makan gaji macam Merak Jalanan.

Sebelum ini pun sudah ada pakar pertanian buat matematik mudah cara kira untung rugi buka kebun musang king. Katanya, satu hektar tanah boleh ditanam kira-kira 90 batang pokok musang king. Setiap pokok yang sudah berusia 10 tahun pula boleh berbuah lebih 100 biji. Purata berat sebiji buah ialah 1.5 kilogram. Jika harga musang king di ladang RM50 sekilogram, satu hektar kebun boleh dapat sehingga RM675,000 semusim. Kalau ada 200 hektar, sudah RM135 juta!

Apa pun, Merak Jalanan harap tiada kompromi dalam soal pencerobohan tanah, tidak kira siapa atau berapa besar keuntungannya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!