Polis lengkapkan kertas siasatan Ahli Parlimen Raub, Pengerusi Samka

RAUB - Satu kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum tindakan seterusnya dapat dilakukan dalam tempoh terdekat berhubung penahanan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata sedemikian selepas kedua-dua individu berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa selepas didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas membabitkan operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian di Raub minggu lalu.
"Kita juga ingin meminta semua pihak mematuhi undang-undang dan tidak menimbulkan isu perkauman," katanya lagi.
Sebelum itu, Yu Hui yang juga penasihat Samka bersama Wilson ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan selepas hadir ke IPD Raub pada jam 4 petang untuk dirakam keterangan.
Operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub mencetuskan kekecohan kerana pekebun terlibat didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan.
Sementara itu, kerajaan Pahang pula menafikan melanggar perintah mahkamah apabila kira-kira 200 pokok durian Musang King ditebang dalam operasi di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.
Operasi yang disertai polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) itu dijalankan di kawasan kebun yang diteroka tanpa kebenaran dan dijangka berlangsung hingga 3 Mei ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!