TI-M desak semak semula peraturan akses data pemilikan benefisial

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menyemak semula peraturan yang mengehadkan akses kepada data dan maklumat pemilikan benefisial (BO) dalam sesebuah syarikat.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Raymon Ram berkata, peraturan sedemikian boleh menjejaskan nilai ketelusan korporat dan akauntabiliti awam secara keseluruhan.
“Tindakan mengehadkan akses kepada data BO walaupun tiada peruntukan larangan sedemikian di bawah Bahagian 8A Akta Syarikat 2016, Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001 atau Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 adalah bertentangan dengan prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik.
“Ketelusan mestilah bermakna dan boleh diakses, bukannya terhad atau tersembunyi,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 2024, pindaan kepada Bahagian 8A Akta Syarikat 2016 telah memperkenalkan definisi BO serta mewajibkan semua syarikat menyimpan dan mengemas kini daftar berkaitan maklumat benefisial tersebut.
Namun begitu, Peraturan-Peraturan Syarikat (Akses untuk Mendaftar dan Maklumat Berkaitan Pemilikan Benefisial) 2025 yang berkuat kuasa sejak 10 Januari lalu telah mengehadkan akses kepada daftar tersebut.
Ketika ini, akses hanya dibenarkan kepada pemilik BO sendiri, wakil sah mereka, Bank Negara Malaysia (BNM), agensi penguat kuasa, institusi kewangan tertentu dan Kementerian Kewangan. Permohonan untuk melihat daftar juga hanya boleh dibuat secara fizikal dan memerlukan kelulusan bertulis.
Tambah Raymon, akses terhad kepada maklumat BO boleh menjadi halangan kepada usaha membanteras salah guna kuasa dan ketirisan dana awam.
Menurutnya lagi, kekangan ini turut menafikan hak akses kepada wartawan, pertubuhan masyarakat sivil dan penyelidik yang memainkan peranan penting dalam mendedahkan kes rasuah serta konflik kepentingan dalam kalangan tokoh berprofil tinggi.
Beliau merujuk kepada amalan di negara seperti United Kingdom, Denmark dan Ukraine yang telah mengguna pakai sistem daftar pemilikan terbuka bagi meningkatkan ketelusan korporat dan memperkukuh keyakinan pelabur serta orang awam.
“Maklumat terbuka membolehkan pihak berkepentingan memantau siapa yang benar-benar memiliki dan mengawal syarikat, terutama yang terlibat dalam pemerolehan kerajaan, kontrak awam atau mempunyai kaitan politik.
“Justeru, kerajaan dicadangkan supaya membangunkan satu platform digital yang selamat bagi memudahkan capaian maklumat oleh pihak berautoriti, sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan proses semakan data,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

