Kerajaan pertingkat pendidikan seksualiti holistik - Mohd Na'im

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan mempertingkatkan strategi pencegahan berasaskan Pendidikan Seksualiti Holistik (PSH) yang menekankan lima dimensi seksualiti iaitu intelek, emosi, sosial, spiritual dan fizikal bagi menangani peningkatan kes rogol dan sumbang mahram bawah umur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan, pendidikan itu merangkumi tiga elemen utama berdasarkan penyesuaian tahap usia kematangan anak-anak, berasaskan nilai agama, budaya dan adat resam serta berlandaskan data kajian saintifik tepat.

Beliau menegaskan, ibu bapa dan golongan dewasa wajib diberikan pengetahuan asas berkaitan PSH, malah dilatih dengan kemahiran berkomunikasi dengan anak remaja berkaitan aspek seksualiti secara selamat dan hormat.

"Remaja pula mestilah diperkasa dengan ilmu pengetahuan asas PSH untuk membantu mereka membuat keputusan bijak dan sejahtera berkaitan aspek seksualiti mereka sendiri.

"Bagi anak-anak remaja telah terjebak dengan gejala seksual, usaha perlu difokuskan kepada kaedah mengurangkan risiko berlakunya masalah kesihatan mental, kehamilan remaja, pengguguran dan jangkitan kelamin dalam kalangan remaja perempuan dan lelaki," katanya menerusi hantaran Facebook pada Khamis.

Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan pendedahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bahawa sebanyak 252 kes rogol dan sumbang mahram direkodkan iaitu meningkat berbanding 2023 membabitkan 206 kes.

Menurut Mohd Yusoff, kebanyakan mangsa rogol dan pelaku merupakan kanak-kanak membabitkan usia 10 tahun bagi perempuan dan 11 tahun bagi lelaki sehingga ada yang mengandung.

Bagi Mohd Na'im, ibu bapa kepada remaja terlibat mestilah juga diberi kesedaran untuk melindungi anak remaja mereka dari terus mengamalkan gaya hidup berisiko tinggi.

"Tindakan undang-undang lebih tegas perlu diambil ke atas individu atau pihak bertanggungjawab melakukan eksploitasi seperti amang seksual, cabul dan rogol yang merosakkan remaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyatakan, Kerajaan Madani memandang serius laporan mengenai peningkatan kes rogol dan sumbang mahram membabitkan remaja bawah umur seawal 10 tahun dan perkara ini sangat membimbangkan.

Sehubungan itu, Mohd Na'im menegaskan bahawa gejala ini perlu ditangani segera dengan pendekatan strategi bersepadu dan holistik melibatkan semua pihak khususnya ibu bapa sebagai pendidik utama, masyarakat dan pihak berwajib.

"Saya menyeru semua pihak, institusi keluarga, sekolah, masjid, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan untuk berganding bahu membentuk ekosistem sokongan selamat dan berkesan bagi membimbing remaja kita ke arah jalan lebih baik dan diredai ALLAH SWT," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!