Malaysia perlu seimbangkan hubungan dengan kuasa besar - MP Klang

GANABATIRAU
GANABATIRAU
A
A
A

KLANG – Malaysia kini berada di persimpangan geopolitik penting apabila Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 24 peratus ke atas pelbagai eksport negara dan pada masa sama Presiden China, Xi Jinping mengadakan lawatan rasmi ke Kuala Lumpur bagi memperkukuh hubungan dua hala.

Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman berkata, situasi itu mencerminkan cabaran Malaysia sebagai negara perdagangan bebas yang perlu menyeimbangkan hubungan dengan kuasa-kuasa besar dunia.

“Cabaran utama Malaysia adalah mengekalkan peranannya sebagai kuasa sederhana yang berkecuali dan tidak berpihak, berdagang secara aktif dengan Timur dan Barat,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada 9 April lalu, AS mengenakan tarif timbal balik ke atas eksport Malaysia termasuk barangan elektronik, getah, peranti perubatan dan perabot kecuali semikonduktor.

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) memberi amaran bahawa langkah ini akan mengganggu rantaian bekalan dan melemahkan keyakinan pelabur, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik.

Sebagai respons, kerajaan telah mengaktifkan Pusat Arahan Geoekonomi Negara (NGCC) bagi menilai impak dan mencadangkan strategi pemulihan seperti pempelbagaian pasaran, pengukuhan rantaian nilai domestik serta tindakan melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Lawatan Xi pada 15 hingga 17 April pula menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia–China.

Beberapa perjanjian kerjasama ditandatangani, termasuk projek di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pelaburan dalam teknologi hijau, kecerdasan buatan dan pembuatan pintar.

Malaysia dan China turut memperteguh komitmen terhadap keamanan di Laut China Selatan, dengan Perdana Menteri menegaskan hak negara untuk meneroka sumber tenaga dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) secara berdaulat.

Artikel Berkaitan:

Ganabatirau menegaskan, Malaysia mesti bijak memanfaatkan peluang tanpa bergantung kepada mana-mana pihak.

“Lawatan Xi membawa peluang besar, tetapi Malaysia mesti kekal berhati-hati agar kedaulatan dan kepentingan jangka panjang tidak terjejas,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, langkah Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang bakal menjadi contoh bagaimana kuasa sederhana boleh mengemudi persaingan kuasa besar secara berdikari dan bermaruah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!