Imigresen Kelantan cekup 32 PATI di tiga daerah

KOTA BHARU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan selama dua hari di tiga daerah di negeri ini.
Ops Sapu, Jaja dan Kutip itu dilaksanakan bermula Rabu hingga Khamis di sekitar Kota Bharu, Tumpat dan Machang melibatkan kekuatan 16 pegawai penguat kuasa.
Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, operasi yang bermula jam 10 pagi itu dilakukan hasil risikan terhadap lokasi tumpuan warga asing.
“Pemeriksaan dijalankan di Berek 12 (Kota Bharu), Kok Pasir (Tumpat) dan Bukit Tiu (Machang).
“Hasilnya seramai 18 warga Bangladesh, Thailand (3), Myanmar (3) dan Indonesia (8) berusia 20 hingga 55 tahun telah ditahan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, kesemua warga asing itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas lawatan.
Ujarnya, mereka kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Mohamed Yusoff Khan menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan PATI atau sebarang kegiatan mencurigakan membabitkan warga asing.
“JIM Kelantan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bersubahat, mendalangi atau memudahcara kegiatan PATI di negeri ini,” tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

