'Tahun ini, tahun penguatkuasaan' - Imigresen

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memfokuskan elemen penguatkuasaan, khususnya di lokasi aktiviti ekonomi yang dikuasai pendatang asing tanpa izin (PATI) pada tahun ini.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya akan sedaya upaya membanteras isu PATI melalui tindakan bersepadu bersama agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mesej saya ialah, tahun ini saya sasarkan sebagai tahun penguatkuasaan untuk JIM.
“Kita akan memberi tumpuan lebih kepada aktiviti penguatkuasaan, khususnya di kawasan yang dikuasai warga asing, terutama melibatkan aktiviti ekonomi seperti di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri JIM Kuala Lumpur di sini, Khamis.
Turut hadir, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.
Jelas Zakaria, operasi akan dilaksanakan secara berterusan tanpa kompromi.
“Jika hari ini kita pergi dan mereka (PATI) tiada, esok kita akan datang semula. Kita akan pastikan semua aktiviti haram ini dipatahkan,” ujarnya.
Mengulas mengenai statistik semasa, beliau memaklumkan bahawa sehingga 2 April tahun ini, sebanyak 46,790 individu telah diperiksa, manakala 19,361 individu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Dalam tempoh sama, kita turut menahan 448 majikan yang disyaki melindungi pekerja secara tidak sah dan mereka akan didakwa di mahkamah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
