[VIDEO] Kelantan paling tinggi kes penyalahgunaan dadah

A
A
A

ALOR SETAR – Kelantan muncul negeri yang mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini dengan statistik menunjukkan 1,130 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Statistik tersebut meletakkan negeri itu di tangga pertama, diikuti oleh Terengganu (914 kes), Perlis (965 kes), dan Kedah (898 kes).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 192,857 kes penyalahgunaan dadah telah direkodkan di seluruh negara pada tahun 2024.

“Daripada jumlah itu, 61 peratus melibatkan individu berumur antara 15 hingga 39 tahun, golongan yang tergolong dalam kumpulan umur paling produktif.

“Jumlah ini turut melibatkan 56 peratus lelaki dan 75 peratus daripada mereka adalah Melayu, manakala 37 peratus adalah penganggur,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Khamis.

Selain itu, daerah Pendang di Kedah terus mencatatkan angka tertinggi dalam penyalahgunaan dadah bagi setiap daerah di Malaysia dengan 1,798 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Peningkatan itu jelas ketara berbanding laporan sebelumnya yang mencatatkan 1,333 kes pada tahun sebelumnya.

Ayob Khan (dua kiri) pada sidang akhbar rampasan dadah Ops Kenari di IPK Kedah pada Khamis.
Ayob Khan (dua kiri) pada sidang akhbar rampasan dadah Ops Kenari di IPK Kedah pada Khamis.

Selepas Pendang, daerah-daerah di Kelantan seperti Kuala Krai (1,442 kes), Bachok (1,315 kes), Tanah Merah (1,275 kes), dan Pasir Putih (1,265 kes) turut berada dalam senarai tertinggi.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ayob Khan, kajian menunjukkan bahawa pengaruh rakan sebaya menyumbang sebanyak 47 peratus kepada penyalahgunaan dadah, manakala 18 peratus pula kerana rasa ingin tahu.

“Faktor-faktor ini menunjukkan perlunya pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja memfokuskan kepada penguatkuasaan tetapi juga pencegahan,” ujarnya.

Ayob Khan turut menjelaskan bahawa polis akan meneruskan tindakan agresif membanteras sindiket dadah, seperti yang dilaksanakan melalui Ops Kenari baru-baru ini di Kedah selama lapan hari yang memberi fokus kepada pembekal dan pengedar utama dadah.

Dalam pada itu, polis juga menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri melarang penjualan vape bagi membantu pihak berkuasa mengatasi isu penyalahgunaan dadah yang dipercayai turut dicampur dalam rokok elektronik itu.

Ayob Khan berkata, kerajaan negeri boleh berbuat demikian sementara menunggu Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang berkaitan.

Jelas beliau, terdapat negeri yang telah mengambil inisiatif mengharamkan penjualan vape yang dilihat membawa impak baik terhadap masalah penyalahgunaan dadah.


Polis mohon peruntukan RM80 juta, tingkat keupayaan kesan dadah sintetik

ALOR SETAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon peruntukan tambahan sebanyak RM80 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memperkukuh keupayaan mengesan dadah sintetik seperti methamphetamine dan fentanyl, yang semakin mengancam masyarakat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pembelian peralatan khas amat diperlukan dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah berasaskan bahan kimia yang kompleks.

Menurutnya, buat masa sekarang, melalui kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), polis telah memperoleh sebuah mesin baharu bernilai RM3.6 juta bagi membantu siasatan berkaitan dadah sintetik.

“Kami telah menerima RM8.4 juta daripada kerajaan dan kini dalam proses mengemukakan permohonan tambahan sebanyak RM80 juta daripada Kementerian Dalam Negeri bagi meningkatkan keupayaan peralatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) pada Khamis.

Menurut Ayob Khan, polis telah mengesan kehadiran fentanyl dalam pasaran tempatan melalui ujian dan analisis, termasuk kajian sampel kumbahan di Lembah Klang dan Johor baru-baru ini.

Menurutnya, fentanyl merupakan sebahagian daripada ancaman baharu dadah sintetik yang jika tidak ditangani segera, boleh memberikan impak besar kepada masyarakat.

“Fentanyl sering disebut sebagai ‘ dadah zombi ’ kerana kekuatannya yang 100 kali lebih kuat daripada morfin serta 20 hingga 40 kali lebih berbahaya daripada heroin,” jelas beliau.

Ayob Khan turut mendedahkan bahawa kebanyakan penagih dadah kini tidak hanya menggunakan satu jenis dadah, sebaliknya mencampurkan pelbagai bahan seperti methamphetamine, fentanyl, dan Eramin 5 untuk mendapatkan kesan lebih kuat.

“Cabaran terbesar ialah kebanyakan dadah sintetik ini masih belum disenaraikan di bawah undang-undang sebagai bahan berbahaya. Setakat ini, hanya 87 peratus bahan kimia berbahaya disenaraikan dalam Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun.

“Namun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) telah menyenaraikan sebanyak 1,245 jenis dadah berbahaya. Kegagalan memasukkan bahan ini ke dalam senarai domestik akan menghalang penguatkuasaan undang-undang terhadap penyalahgunaannya,” katanya lagi.

Bagi menghadapi cabaran ini, polis sedang berusaha keras untuk memasukkan dadah sintetik baharu ke dalam Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun bagi membolehkan tindakan diambil terhadap sindiket dan pengguna.

“Kita perlu bertindak segera untuk memastikan dadah sintetik yang belum disenaraikan dapat dihadkan penggunaannya sebelum ia memberi kesan lebih besar kepada masyarakat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!