Sindiket dadah luas operasi buka makmal baharu di Kedah

Ayob Khan (tengah) menunjukkan vape yang mengandungi dadah yang dirampas bersama dadah lain di sebuah makmal di Sungai Petani baru-baru ini.
Ayob Khan (tengah) menunjukkan vape yang mengandungi dadah yang dirampas bersama dadah lain di sebuah makmal di Sungai Petani baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR – Sindiket pengedaran dadah yang sebelum ini aktif di Pulau Pinang dan Lembah Klang kini dikesan memperluaskan operasi mereka ke Kedah berikutan penemuan makmal haram di Sungai Petani dalam Ops Kenari baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan tegas pihak berkuasa di dua kawasan utama itu menyebabkan sindiket beralih ke wilayah utara untuk meneruskan kegiatan mereka.

Menurutnya, Ops Kenari bermula 9 hingga 16 April tersebut menyaksikan nilai rampasan dadah sebanyak RM6 juta direkodkan.

“Makmal dadah ini baru beroperasi tiga bulan. Makmal ini kalau dulu, kalau kita sebut banyak yang ada dikesan di Pulau Pinang, di Selangor, di Johor tapi sekarang di Kedah pun dah ada makmal.

“Makmal pula yang menghasilkan cecair vape mushroom dicampur dengan dadah fentanyl. Ini yang kita bimbang. Jumlah pengguna vape ini ada umur 13 tahun hingga 17 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Khamis.

Jelas Ayob Khan, siasatan mendapati sindiket ini menyasarkan golongan belia dan penagih dadah di utara dengan menggunakan kaedah penyamaran yang lebih sukar dikesan.

Menurutnya, dadah yang digunakan juga dicampur dengan Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau lebih dikenali sebagai ekstasi untuk meningkatkan kesan halusinasi.

"Kami percaya trend ini bukan hanya berlaku di Kedah, tetapi juga berlaku di negeri-negeri lain di negara ini," ujarnya.

Tambah beliau, polis memandang serius perkembangan ini dan akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta pemantauan di sekolah-sekolah bagi membendung masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan langkah pemantauan lebih ketat dan memberi kesedaran tentang bahaya penggunaan dadah melalui vape," kata Ayob Khan lagi.

Beliau memberitahu, penemuan makmal dadah di Kedah membuktikan ancaman ini semakin berkembang, menjadikan usaha pihak berkuasa membanteras penyalahgunaan dadah lebih mencabar.

Katanya, penjualan vape yang mengandungi dadah di dalam talian juga antara cabaran baharu yang perlu dihadapi oleh pihak berkuasa dan pihaknya sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau perkara tersebut.

Pada Rabu, media melaporkan polis melumpuhkan dua sindiket pengedaran dadah dan membongkar sebuah makmal haram memproses barang larangan itu menerusi Op Kenari 1.0 di Kedah dan Pulau Pinang membabitkan nilai rampasan dadah RM6 juta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, 13 lelaki dan seorang wanita warga China berusia 30 hingga 50 tahun disyaki terbabit dalam dua sindiket itu ditahan dalam operasi yang bermula pada 9 April.

Beliau berkata, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 199.8 kilogram (kg), pil erimin 5 (10.21kg), serbuk MDMA (8.6kg), pil atau serbuk ekstasi (2.6kg), ganja (1.43kg), serbuk kimia (43.2kg) serta heroin (12.1kg).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!