Op Tumpang: Sembilan individu mengaku salah

Sembilan individu didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) pada Rabu.
Sembilan individu didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sembilan individu yang disiasat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung kes pendaftaran kelahiran palsu dituduh di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Kesemua orang kena tuduh (OKT) itu membabitkan empat lelaki dan lima wanita berusia lingkungan 31 hingga 42 tahun.

Bagaimanapun, seorang OKT dibebaskan dengan jaminan atas faktor masalah kesihatan kronik selepas keterangannya direkodkan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

JPN dalam kenyataan kepada Sinar Harian memaklumkan, kesemua sembilan individu terbabit melibatkan tangkapan di Melaka, Subang Jaya, Klang, Cheras, Puchong, Kepong dan Putrajaya.

Katanya, dua daripada OKT mempunyai dua kes.

"Kesemua mereka masing-masing mengaku salah dan dikenakan denda antara RM6,000 hingga RM13,000," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan JPN menerusi Op Tumpang fasa dua bertindak menahan 10 individu untuk siasatan lanjut.

Op Tumpang fasa pertama yang dilaksanakan pada 11 Mac di Putrajaya, Selangor, Perak dan Pulau Pinang pula berjaya merampas wang tunai RM54,000 dipercayai hasil daripada aktiviti haram berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, modus operandi sindiket melibatkan individu yang bertindak sebagai pemaklum kelahiran dengan mengemukakan dokumen kelahiran palsu di kaunter JPN semasa pendaftaran.

Setelah sijil kelahiran sah diperoleh, ia dipercayai dijual di pasaran gelap kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak tidak memiliki pengenalan diri serta kewarganegaraan Malaysia.

Sindiket ini juga dipercayai mempunyai rangkaian dalam dan luar negara serta berkemungkinan besar terlibat dalam penyeludupan kanak-kanak dari luar negara yang tidak mempunyai dokumen diri dan dijual kepada ibu bapa berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!