Provokasi terhadap penguat kuasa MBI bukan isu perkauman - Exco Perak

Tangkap layar video tular memaparkan kekecohan dan provokasi semasa tindakan penguatkuasaan oleh pasukan MBI di restoran berkenaan. Gambar kecil: Sandrea Ng Shy Ching
Tangkap layar video tular memaparkan kekecohan dan provokasi semasa tindakan penguatkuasaan oleh pasukan MBI di restoran berkenaan. Gambar kecil: Sandrea Ng Shy Ching
A
A
A

IPOH - Insiden provokasi dan kekerasan terhadap anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ketika menjalankan tugas di sebuah restoran di Menglembu di sini pada Rabu bukan isu perkauman.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, orang ramai diminta agar tidak menimbulkan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat berhubung kes itu.

"Kerajaan negeri akan mengambil langkah segera bagi menjernihkan keadaan. Saya menghargai kesabaran semua pihak sementara siasatan berlangsung.

"Saya ingin menegaskan bahawa ini bukanlah isu perkauman," katanya sepertimana dikongsi di Facebook di sini.

Beliau berkata, siasatan segera telah dijalankan oleh pihak berkaitan dan maklumat lengkap sedang dikumpul.

"Ini bagi membolehkan tindakan susulan diambil dengan sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataan memaklumkan, laporan kejadian itu diterima daripada seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan anggota penguat kuasa pada jam 6.43 petang.

Menurutnya, semasa pengadu dan pasukan penguat kuasa sedang menjalankan tugas sitaan kerusi dan meja, seorang pekerja restoran melakukan provokasi.

"Berdasarkan siasatan, tindakan sitaan itu dilakukan berdasarkan aduan diterima daripada Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MBI.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun semasa melakukan tugas, seorang pekerja restoran berkenaan telah mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menghalang anggota penguat kuasa daripada menjalankan tugas rasmi.

"Pengadu turut memaklumkan, seorang anggota penguat kuasa telah ditumbuk oleh individu terbabit," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Insiden tersebut tular melalui satu video yang dimuat naik oleh akaun media sosial 'Happy Boss Network' memaparkan tindakan penguatkuasaan oleh pasukan MBI di restoran berkenaan.

Abang Zainal Abidin berkata, siasatan kes itu telah dimulakan dengan merakam keterangan daripada saksi-saksi terlibat.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 353 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan atau menghalang penjawat awam daripada menjalankan kewajipan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil kerana mengeluarkan kata-kata kesat.

"Polis memandang serius kejadian ini dan meminta orang ramai agar bertenang serta tidak mengambil tindakan bertentangan dengan undang-undang.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan menggugat keharmonian masyarakat di media sosial," katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Sheikh Fateeha Iman di talian 010-290 8095 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!