Penguat kuasa MBI, peniaga berdamai

Ahmad Zaiyadi (tiga dari kanan) bersama pihak terlibat menyelesaikan isu tular membabitkan penguat kuasa MBI secara baik dalam satu pertemuan pada Khamis.
Ahmad Zaiyadi (tiga dari kanan) bersama pihak terlibat menyelesaikan isu tular membabitkan penguat kuasa MBI secara baik dalam satu pertemuan pada Khamis.
A
A
A

IPOH – Insiden membabitkan seorang peniaga dan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Taman Rasi Jaya, Menglembu di sini yang tular di media sosial, selesai secara aman.

Perkara itu diselesaikan dalam suasana harmoni hasil pertemuan diatur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How di Pejabat Bahagian Penguat kuasa MBI pada Khamis.

Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan MBI, Ahmad Zaiyadi Sudin menjelaskan, pertemuan diadakan bertujuan mencari titik penyelesaian agar krisis tidak berpanjangan dan disalah tafsir sebagai isu perkauman.

“Ini sebenarnya isu perundangan dan apabila melibatkan sentuhan terhadap anggota beruniform, prosesnya panjang. Namun, ia jarang berlaku di Ipoh.

“Proses penguatkuasaan ini lebih kepada mendidik masyarakat mengenai kesalahan dan kepatuhan terhadap undang-undang,” katanya.

Menurutnya, dalam proses menguatkuasakan undang-undang, tidak dinafikan berlaku cabaran termasuk provokasi daripada sesetengah pihak.

Jelasnya, keadaan itu juga menjadi ruang pembelajaran kepada MBI menangani situasi sedemikian.

“Kami akan menambah baik modul latihan supaya anggota lebih bersedia menghadapi pelbagai situasi di lapangan secara berhemah. Kita tidak mahu perkara seperti ini berulang.

“Ini bukan isu besar, kita hanya cari titik pertemuan untuk diselesaikan secara baik. Malah, kedua-dua pihak juga bersetuju menarik balik laporan polis dan tidak akan memanjangkan kes ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, media melaporkan polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden provokasi dan kekerasan terhadap seorang anggota penguat kuasa MBI ketika menjalankan tugas di sebuah restoran di Menglembu pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan kejadian diterima daripada seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan anggota penguat kuasa pada jam 6.43 petang, hari sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!