Sorok kokain RM1.05 juta dalam beg anyaman

SEPANG - Helah lapuk penumpang pesawat sorok dadah jenis kokain bernilai RM1.05 juta di dalam ruang rahsia beg anyaman yang dijahit rapat menjerat diri apabila ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini pada 18 Mac lalu.
Wanita warga Thailand itu ditahan kira-kira jam 7 petang oleh pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan bersama Bahagian Perkastaman, Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Zon Tengah Unit lll.
Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, pemeriksaan bagasi wanita berusia 30 tahun yang tiba dari timur Afrika menemui dadah terbabit seberat 5.22 kilogram (kg).
Katanya, sebanyak 16 bungkusan plastik lut sinar berisi serbuk putih disyaki kokain itu dijumpai dalam ruangan khas beg anyaman yang dijahit rapat.

"Siasatan awal mendapati dadah tersebut cuba diseludup masuk untuk tujuan diedarkan di dalam negara.
"Berdasarkan jumlah berat dadah itu, kejayaan kastam ini dapat membanteras pengedaran dadah tersebut kepada 80,000 orang penagih dadah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, kokain ialah dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952.
Justeru, ujarnya, orang ramai digesa membantu pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memerangi jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain selain diingatkan agar tidak membabitkan diri dalam aktiviti tersebut.
"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
