Sektor pemangkin baharu ekonomi Sabah

Sabah kini sedang menempuh fasa transformasi ekonomi yang lebih mapan daripada pelbagai dimensi.
Sabah kini sedang menempuh fasa transformasi ekonomi yang lebih mapan daripada pelbagai dimensi.
A
A
A

TAHUN 2024 mencatatkan titik tolak baharu bagi ekonomi Sabah apabila berjaya menarik pelaburan berjumlah RM6.5 bilion dengan 38.7 peratus daripadanya disumbangkan oleh sektor pembuatan.

Perkembangan ini bukan sekadar angka di atas kertas, malah mencerminkan perubahan struktur ekonomi yang semakin dinamik dan kurang bergantung kepada sektor minyak dan gas sahaja.

Perkara itu juga menjadi isyarat jelas bahawa Sabah kini sedang menempuh fasa transformasi ekonomi yang lebih mapan daripada pelbagai dimensi.

Jadi tidak hairanlah jika Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menegaskan lonjakan sektor pembuatan bukan sahaja memperkukuh pertumbuhan ekonomi semata-mata.

Bahkan peningkatan jumlah pelaburan itu membuka beribu peluang pekerjaan, mempercepatkan adaptasi teknologi dan memacu pembangunan infrastruktur industri di negeri di bawah bayu.

Antara sektor berpotensi tinggi yang kini menjadi fokus ialah biojisim, kelapa sawit, industri berkaitan minyak dan gas sebagai pendekatan baharu yang memberi penekanan kepada aktiviti hiliran.

Pendekatan ini dilihat mampu menambah nilai kepada sumber asli sedia ada, meningkatkan margin keuntungan dan sekali gus mengangkat daya saing Sabah ke peringkat global.

Lebih menarik, tumpuan kepada pelaburan berimpak tinggi seperti teknologi hijau dan ekonomi lestari menjadikan Sabah pemain yang lebih bersedia dalam menghadapi realiti ekonomi pasca pandemik dan cabaran perubahan iklim dunia.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan ini turut diterjemahkan melalui kutipan hasil negeri apabila berjaya mengekalkan paras melebihi RM6 bilion iaitu sebanyak RM6.842 bilion pada tahun lepas.

Ini adalah hasil daripada keberanian kerajaan negeri melaksanakan dasar percukaian strategik seperti pengenalan Cukai Jualan Negeri terhadap ke atas tiga produk baharu termasuk pasir silika, biojisim kelapa sawit dan logam berharga seperti emas serta perak.

Langkah tersebut jelas menunjukkan komitmen untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negeri dan mengurangkan kebergantungan terhadap satu sektor tunggal.

Dalam masa yang sama, perancangan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membuka ruang kepada pendekatan pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.

Dengan pengurusan kewangan yang lebih sistematik dengan tumpuan kepada pembangunan menyeluruh dari bandar hingga ke kawasan pedalaman, Sabah berada di landasan tepat untuk melonjak lebih jauh.

Namun, kejayaan ini memerlukan kerjasama erat semua pihak kementerian, jabatan dan agensi pelaksana bagi membina ekosistem ekonomi yang menyeluruh, berdaya tahan serta lestari.

Kesimpulannya, peningkatan pelaburan dan hasil negeri itu bukan sekadar statistik tetapi manifestasi kepercayaan pelabur dan keberkesanan dasar kerajaan negeri dalam mentransformasikan landskap ekonomi Sabah.

Melalui dasar yang konsisten, pelaksanaan yang cekap dan sokongan infrastruktur yang mantap, Sabah berpotensi besar untuk muncul sebagai hab pelaburan utama Malaysia Timur dalam bidang teknologi, inovasi dan pemprosesan.

Kerajaan negeri juga bakal melancarkan Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (RAER) yang merupakan sebuah inisiatif selama tahun bagi memulihkan ekonomi luar bandar melalui beberapa program disasarkan merangkumi pertanian, perikanan, penternakan, keusahawanan, dan industri hiliran.

Objektif utama RAER untuk meningkatkan produktiviti pertanian dan memastikan keterjaminan makanan di Sabah dan seterusnya, meningkatkan serta mempelbagaikan sumber pendapatan isi rumah di kawasan luar bandar.

Pada masa sama, kestabilan politik dan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi faktor penting dalam menarik pelabur asing serta mengukuhkan pungutan hasil negeri.

* Mohd Faizul Haika Mat Khazi ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!