China kekal antara pelabur terbesar Malaysia berjumlah RM450.84 bilion

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jumlah perdagangan China dan Malaysia dari Januari hingga September 2024 meningkat kepada RM355.16 bilion berbanding RM325.83 bilion dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sejumlah 46 projek telah diluluskan pada separuh tahun pertama 2024 dengan jumlah pelaburan sebanyak RM5.9 bilion.
Menurut beliau, ia dijangka mewujudkan sebanyak 5,038 peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.
“China merupakan rakan dagang terbesar bagi Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak tahun 2009.
“Pada tahun 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion.
“China juga merupakan salah satu pelabur terbesar bagi Malaysia, di mana jumlah pelaburan China di Malaysia sejak 1980 hingga 2023 adalah berjumlah RM74.2 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang memintanya mendedahkan hasil ekonomi susulan lawatan pemimpin negara ke China, khususnya manfaat tambahan yang disediakan semasa meraikan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Menurut Mohamad, kedua-dua negara telah mengaturkan dan menjayakan pelbagai program termasuk pertukaran lawatan peringkat tinggi sempena ulang tahun tersebut.
Katanya, sejumlah 32 aktiviti lawatan telah diadakan setakat Disember tahun ini.
“Pelbagai peluang kerjasama di antara Malaysia dan China telah dibincangkan serta banyak persetujuan telah dicapai oleh kedua-dua negara.
“Ini merangkumi bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, pertanian, agri komoditi, pelancongan, kesalinghubungan atau hubungan antara rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, China setuju untuk mempertingkatkan kerjasama sedia ada di samping meneroka peluang kerjasama baharu di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
“Kerjasama lain merangkumi perkongsian pakar dan teknologi dalam bidang pertanian, pembasmian kemiskinan tegar, tenaga boleh baharu, semikonduktor, kecerdasan buatan serta ekonomi digital.
“China juga setuju menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!