Pengusaha pertanian di tanah kerajaan perlu mohon LPS

SEREMBAN - Mana-mana pihak yang mengusahakan tanah kerajaan bagi tujuan pertanian di Negeri Sembilan diminta membuat permohonan kepada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) untuk mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS).
Exco Kanan negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya mereka gagal berbuat demikian.
“Itu jelas, maknanya situasi menang-menang. Bila kamu usahakan tanah kerajaan, kamu perlu membayar kepada kerajaan negeri.
“Tanah pun bukan besar, ada dua ekar, empat ekar, lapan ekar. Tapi kalau tanah itu mempunyai kepentingan untuk perancangan masa depan kerajaan, maka kita tidak akan luluskan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, pada Rabu.
Jalaluddin berkata, bukan semua permohonan diluluskan dan sekiranya didapati tidak sesuai untuk diusahakan, mereka diminta mengosongkan tanah tersebut.
Tambah beliau, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memberi LPS kepada mereka yang telah mengusahakan tanah kerajaan untuk aktiviti pertanian lebih lima atau 10 tahun.
"Tapi kalau orang lain tanam dan yang mohon orang lain, itu kita tak luluskan. Itu prinsip kita.
"Bila kita dah bagi kelulusan, maka bayaran lesen mesti dijelaskan kepada kerajaan negeri setiap tahun. Mereka perlu perbaharuinya setiap tahun, ini bukannya pajakan," katanya.
Jalaluddin yang juga Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri berkata, kadar bayaran LPS bergantung kepada jumlah pokok yang ditanam dan akan ditentukan oleh PTD.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan negeri berhak mengambil semula tanah tersebut pada bila-bila masa dan perkara itu telah dipersetujui sejak awal lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!