Waspada ‘ghibah’ moden, gambar pun jadi bahan mengumpat

KEBANYAKAN daripada kita menganggap bahawa perbuatan mengumpat (ghibah) hanyalah berdasarkan percakapan ataupun tulisan yang menceritakan keburukan orang lain di belakangnya.
Walaupun tahu mengumpat atau ghibah dilarang sama sekali dalam Islam, namun adakalanya perbuatan itu masih berlaku sama ada secara sedar ataupun tidak.
Apa yang lebih membimbangkan, perbuatan ghibah tidak lagi terbatas melalui kata-kata. Dalam dunia digital masa kini, gambar juga boleh menjadi alat untuk mengumpat.
Menurut pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman, menyebarkan gambar seseorang yang tidak disukai oleh tuan empunya badan juga termasuk dalam kategori ghibah moden.

Dalam satu riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kalian yang dimaksud dengan ghibah?” Para sahabat menjawab: “ALLAH dan rasul-NYA yang lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “(Ghibah) ialah kamu menyebutkan perkara yang tidak disukai saudaramu.” Baginda ditanya: “Beritahukan kepadaku, bagaimana sekiranya ada pada saudaraku itu apa yang saya katakan?” Baginda menjawab: “Jika yang kamu katakan benar ada padanya, maka sungguh kamu telah mengumpatnya. Namun jika tiada padanya apa yang kamu katakan, maka kamu telah memfitnahnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Definisi ghibah daripada Nabi Muhammad ialah ‘Kamu menyebutkan perkara yang tidak disukai saudaramu’.
“Maka, meletak gambar yang tidak disukai lagi jelas daripada sebut yang tidak disukai,” katanya sepertimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Menjawab satu pertanyaan daripada warganet berkenaan penggunaan gambar seseorang untuk dijadikan pelekat (sticker) dalam aplikasi WhatsApp, PU Salman mengiyakannya, sekali gus memberi gambaran bahawa perbuatan itu termasuk dalam kategori ghibah moden jika individu tersebut tidak merelakannya.
Maka, wajar untuk kita lebih berhati-hati sebelum menyebarkan gambar orang lain walaupun dengan niat bergurau atau dianggap lucu.
Sebelum ini, menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook Dr Abu Anas Madani, agamawan terkemuka, Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman pernah menegur trend masyarakat yang suka menyebarkan gambar individu lain dengan dialog rekaan sendiri.
“Hari ini, ramai orang mula menyebarkan gambar ‘lawak haram’ walaupun untuk gurauan.
“Ambil gambar orang, kemudian tulis kata-kata yang orang tersebut tak kata adalah suatu kesalahan,” jelasnya.

Sementara itu, memetik artikel Al-Mawaqif #37: Pempengaruh, awas bahaya ghibah, ghibah dijelaskan sebagai perbuatan yang termasuk dalam dosa-dosa besar, tidak kiralah sama ada dilakukan menerusi kata-kata mahupun perbuatan.
Kata Imam An-Nawawi dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim: “Ghibah adalah perbuatan menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh seseorang ketika orang yang dibicarakan sedang tidak ada di hadapannya.”
Dalam Al-Minhaj, menurut Imam An-Nawawi lagi: “Ungkapan mengandungi makna umum iaitu semua yang dibenci dan tidak disukai oleh orang yang dighibahkan sama ada ia berkait dengan masalah agama atau dunia, seperti masalah hartanya, fizikalnya, keluarganya, anaknya, pakaiannya dan sebagainya.”
Menerusi artikel itu, perbuatan ghibah juga termasuk menceritakan atau melakonkan sesuatu yang buruk pada diri orang lain.
“Ghibah, mengumpat dan gosip boleh berlaku melalui lisan, tulisan atau bahasa isyarat.
“Walaupun yang dibicarakan itu betul pada orang itu, ia adalah ghibah yang diharamkan. Jika yang diperkatakan itu tidak benar, ia merupakan fitnah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web zulkiflialbakri.com.

Betapa dahsyatnya ancaman terhadap perbuatan ghibah itu sehingga ia diumpamakan memakan daging bangkai saudaranya yang telah mati.
Ia sebagaimana dijelaskan dalam firman ALLAH SWT: “Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.” (Surah al-Hujurat: 12)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
