Wanita menari colok mata cemar imej Batu Ferringhi - Kariah masjid

GEORGE TOWN - Kariah Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Feringghi mengecam penganjuran sambutan perayaan Songkran yang berlangsung dalam suasana tidak bermoral di kawasan pantai awam pada Ahad lalu.
Pengerusinya, Ismail Din berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai penganjuran program yang diadakan di Ferringhi Bay, Pantai Batu Ferringhi pada 13 April itu.
Menurutnya, mereka hanya mengetahuinya selepas satu video tular di media sosial baru-baru ini.
"Video berkenaan memaparkan beberapa wanita melakukan tarian separuh bogel yang disifatkan mencolok mata di tingkat atas sebuah premis makanan yang terletak di tepi pantai.
“Pihak kariah mengutuk sekeras-kerasnya aktiviti maksiat seperti ini yang jelas tidak senonoh dan menjelekkan, lebih-lebih lagi ia diadakan di kawasan pantai awam yang dikunjungi oleh masyarakat berbilang bangsa dan agama,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Tambahnya, tindakan penganjur yang tidak peka terhadap sensitiviti masyarakat tempatan, khususnya umat Islam telah mencemarkan imej Batu Ferringhi sebagai kawasan pelancongan yang popular.
"Kita juga ingin menyarankan agar pihak berkuasa lebih teliti dalam meneliti permohonan permit acara oleh mana-mana penganjur selepas ini.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan penganjuran program seumpama itu daripada berulang dan seterusnya boleh menjejaskan keharmonian serta menggugat sensitiviti masyarakat Islam di kawasan ini,” jelasnya.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan komen daripada Exco Kerajaan Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang berkenaan isu tersebut.
Sebelum ini, tular satu klip video di media sosial memaparkan beberapa wanita menari dalam keadaan berpakaian mencolok mata di atas sebuah premis ketika sambutan pesta muzik Songkran baru-baru ini.
Difahamkan, pesta itu diadakan di sebuah premis di tepi pantai di Batu Feringghi dekat sini.
Pesta berkenaan dianjurkan oleh sebuah kelab yang beroperasi di pusat pelancongan berkenaan.
Dalam rakaman video berdurasi 37 saat itu, ia memaparkan beberapa wanita menari dalam keadaan separuh bogel di atas bangunan premis berkenaan.
Lebih mengecewakan, premis berkenaan hanya terletak kira-kira 50 meter dari Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Feringghi.
Difahamkan, pesta tersebut dianjurkan pada Sabtu dan Ahad lalu oleh pihak swasta bersempena sambutan Songkran dan ia bermula pada jam 4 petang hingga lewat malam.
Menurut iklan pada poster penganjuran, orang ramai yang ingin menyertai pesta air ini perlu membeli tiket pada harga antara RM60 hingga RM120 seorang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

